CIIE Jana Peluang, Manfaat Buat Dunia

2024-11-12 14:28:04  CRI
Share with:

Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi ketujuh menutup tirainya di Shanghai pada Ahad.


Pengerusi Lembaga Pengarah L'Oreal, Jean-Paul Agon menyatakan bahawa pihaknya telah menempah 'tiket masuk' untuk menyertai CIIE edisi kelapan sambil menyifatkan kehadiran mereka sebagai satu komitmen buat jangka panjang.


Sama seperti L'Oreal, pempamer dari seluruh dunia memperoleh banyak manfaat daripada ekspo itu dan menanti-nantikan edisi seterusnya.


CIIE ketujuh menyaksikan jumlah transaksi tahunan yang dirancang mencecah USD80 bilion (RM352 bilion), meningkat 2 peratus berbanding edisi lalu.


Ia berjaya menarik kehadiran sebanyak 3,496 pempamer dari 129 negara dan wilayah, antaranya bilangan syarikat tersenarai dalam Fortune Global 500 dan syarikat peneraju sektor berkenaan mencipta rekod tertinggi dalam sejarah.

Sementara itu, 450 produk, perkhidmatan dan teknologi baharu membuat debut untuk tatapan khalayak ramai.


Pada masa sama, China memperkenalkan siri inisiatif baharu antaranya melaksanakan dasar pengecualian visa secara percubaan untuk sembilan negara termasuk Slovakia dan Norway bermula 8 November.


Layanan tarif sifar akan ditawarkan kepada negara paling kurang maju (LDC) membabitkan 100 peratus garis tarif bermula 1 Disember.


Dalam senario pertumbuhan ekonomi dunia lembap serta amalan unilateral dan perlindungan perdagangan semakin meningkat, keterbukaan dan peluang menjadi sesuatu yang amat diinginkan.


Keterbukaan sinonim dengan pemodenan ala China. Seperti yang dinyatakan Presiden Grundfos China, John Markmann, keterbukaan dan keterangkuman China membolehkan setiap warga asing dan syarikat asing mendapat faedah daripadanya.