Peluang Kerjasama Baharu Muncul dalam Perkongsian Strategik China-Slovakia
Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico tiba di Beijing pada 31 Oktober lalu untuk memulakan lawatan rasminya ke China. Sebelum lawatan tersebut, Fico menyifatkan lawatan kali ini sebagai jadual perjalanan paling penting beliau bagi tahun 2024.
Presien China, Xi Jinping telah menerima kunjungan Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada 1 November lalu. Kedua-dua pihak sebulat suara memutuskan untuk mewujudkan perkongsian strategik China-Slovakia untuk membuka lembaran baharu dalam mendorong hubungan dua hala ke arah yang lebih holistik.
Fico berpendapat bahawa Slovakia boleh mendapat peluang baharu dari perkongsian strategik dengan China.
“Kerajaan Slovakia akan mengeluarkan 'Agenda Susulan Pekerjaan di China' untuk memperincikan pelaksanaan pelbagai tindakan setelah pembentukan perkongsian strategik kedua-dua pihak,” kata beliau.
Fico menyifatkan China sebagai negara kuasa besar yang patut dihormati.
“Jadi kami (Slovakia) mengeluarkan kenyataan untuk menegaskan pendirian konsisten dalam mengamalkan dasar Satu China, dan mengiktiraf kedudukan negara China sebagai peserta dalam proses globalisasi.
“Kami (Slovakia) menghormati China dan laluan pembangunan yang dipilihnya yang serasi dengan acuan negara sendiri kerana ia sangat berkesan bagi negara itu melakar pencapaian dalam pembangunan ekonomi, serta meningkatkan taraf hidup rakyat dan pengaruhnya di persada dunia dari segi politik,” kata beliau.
Fico menegaskan peri pentingnya untuk meneroka potensi kerjasama dan pertukaran dalam bidang ekonomi, sosiobudaya dan pengeluaran inovatif berikutan ia bukan sahaja demi kesejahteraan rakyat sesebuah negara, tetapi juga demi pembangunan manusia seluruh dunia.
“Oleh itu, saya rasa ucapan Xi yang berkonsepkan komuniti berkongsi nasib sesama insan amat menggalakkan,” kata beliau.
Ramai orang di Eropah mempunyai salah faham terhadap China, bahkan terdapat sesetengah orang yang menghidap "Chinafobia" tanpa alasan. Namun Fico tidak mempunyai sikap diskriminatif seumpama itu, dan beliau mencadangkan mereka (yang berkaca mata berwarna) datang ke China untuk menyaksikan kemajuan luar biasa yang dilakar oleh China dengan mata sendiri.
“Saya berpendapat, tidak kira apa jua jalan yang dipilih, negara lain tidak dapat mendahului China dari segi pembangunan ekonomi. Itulah sebabnya setiap perkataan yang diucapkan oleh pemimpin China patut dipandang serius,” kata beliau.
Ketika menyebut tentang China memutuskan untuk melaksanakan dasar pengecualian visa selama 15 hari terhadap pemegang pasport biasa dari Slovakia, Fico berkata, ini merupakan peluang baik untuk golongan muda dan usahawan negaranya.
“Kami (Slovakia) sedang mempertimbangkan penerbangan terus antara Slovakia dan Beijing dan kedua-dua pihak telah membincangkan perkara ini di provinsi Hainan.
“Pemimpin China menumpukan kepada perkembangan hubungan persahabatan dengan Slovakia, dan kami berharap memanfaatkan sepenuhnya peluang ini.” kata beliau.