Keterbukaan, Kerjasama Kunci Kejayaan Asia Pasifik
Pelabuhan Chancay di Peru yang dibina oleh syarikat China bakal beroperasi tidak lama lagi, sekali gus mengurangkan hampir 30 peratus masa pengangkutan kargo eksport dari Amerika Selatan ke Asia.
Projek itu akan turut menyuntik penjana baharu untuk pembangunan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua belah pantai Pasifik.
Minggu ini, Peru menjadi tuan rumah Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) edisi ke-31, menyaksikan tokoh politik dan perniagaan dari 21 entiti Asia Pasifik berkumpul untuk membincangkan usaha mengukuhkan perdagangan terbuka, bebas dan inklusif, memacu pertumbuhan mampan ekonomi serta mendorong transformasi tenaga global.
Dengan menyumbang lebih 60 peratus agregat ekonomi dan hampir separuh dagangan global, rantau Asia Pasifik menjadi enjin penting pertumbuhan ekonomi dunia.
Sejak ditubuhkan 35 tahun lalu, APEC sentiasa komited menggalakkan liberalisasi dan pemudahan perdagangan dan pelaburan serta kerjasama ekonomi dan teknologi, di samping terus meningkatkan tahap integrasi ekonomi serantau.
Data berkenaan menunjukkan dalam tempoh 30 tahun sejak penubuhan APEC, tarif purata rantau ini menurun daripada 17 peratus kepada 5 peratus manakala pendapatan per kapita naik sebanyak empat kali ganda.
Landskap kerjasama yang terbuka membawa banyak manfaat kepada entiti ekonomi utama di Asia Pasifik.
Selaku entiti ekonomi penting Asia Pasifik, China sentiasa aktif mengambil bahagian dalam kerjasama APEC sehingga menjadi sumber penggerak kepada kolaborasi serantau.
Kini, China merupakan rakan dagang terbesar 13 entiti APEC dengan menyumbang 64.2 peratus kepada pertumbuhan ekonomi Asia Pasifik.
Prestasi itu turut memacu pertumbuhan dagangan barangan dan perkhidmatan masing-masing sebanyak 37.6 peratus dan 44.6 peratus.
Keterbukaan dan kerjasama merupakan kunci kejayaan pembangunan Asia Pasifik sejak sekian lama.
Dalam senario situasi dunia semakin kompleks, semua entiti Asia Pasifik harus melaksanakan sepenuhnya Visi Putrajaya, bersama-sama membina komuniti berkongsi nasib yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman ke arah mewujudkan 'tiga dekad keemasan' baharu untuk kerjasama Asia Pasifik.