China, Peru Komited Perkasa Kerjasama Bilateral
Presiden China Xi Jinping mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Peru Dina Boluarte di Istana Presiden di Lima pada petang Khamis waktu tempatan.
Xi berkata dua negara harus memperkukuh 'pacuan dua roda' iaitu perdagangan dan pelaburan, memajukan industri tradisional dan industri baru muncul secara serentak, serta menggalakkan integrasi rantaian perindustrian dan bekalan.
China sudi terus memperluas pengimportan produk pertanian berkualiti dari Peru dan menggalakkan perusahaan domestik membuat pelaburan di negara itu.
Kedua-dua pihak hendaklah melakukan usaha bersepadu bagi memperkasa kerjasama tradisional melibatkan sektor perlombongan, tenaga, infrastruktur, pengangkutan dan komunikasi, sambil memacu kerjasama dalam bidang memuncul seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), perkapalan hijau, kenderaan elektrik (EV), industri fotovolta (PV) dan sebagainya.
Beliau turut menzahirkan kesediaan China untuk bekerjasama dengan Peru dalam usaha membina koridor darat-laut baharu antara China dengan Amerika Latin yang menjadikan Pelabuhan Chancay sebagai titik permulaan.
China juga bersedia bersama Peru mewujudkan landskap kesalinghubungan yang berdimensi, pelbagai dan efisien mencakupi Peru dan negara Amerika Latin lain, sekali gus memacu pembangunan dan integrasi Amerika Latin dan rantau Caribbean.
Beliau turut menyatakan komitmen China bersinergi dengan semua pihak untuk menjayakan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 dan mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib Asia Pasifik.
Sementara itu, Boluarte berkata syarikat China dialu-alukan membuat pelaburan di Peru dan menyertai program kerjasama melibatkan infrastruktur, sumber tenaga, pengangkutan dan lain-lain.
Peru juga berhasrat mempergiat kerjasama sosiobudaya dan merapatkan pertukaran personel dengan negara Tembok Besar.
Tambah beliau, Peru menjunjung multilateralisme dan mahu memperkasa komunikasi dan koordinasi dengan China dalam rangka APEC demi menyumbang kepada kedamaian dan kemakmuran rantau Asia Pasifik.