Pelabuhan Chancay Titik Permulaan Baharu Inca Trail

2024-11-16 15:21:54  CRI
Share with:


Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Peru Dina Boluarte menghadiri majlis perasmian Pelabuhan Chancay menerusi pautan video di Istana Presiden di Lima pada malam Khamis waktu tempatan.


Presiden Xi menyifatkan pelabuhan itu sebagai titik permulaan baharu Inca Trail pada era baharu.


Terletak kira-kira 80 kilometer dari utara Lima, Pelabuhan Chancay yang menghadap Lautan Pasifik merupakan pelabuhan air dalam yang mempunyai kelebihan dari segi lokasi geografi.


Dengan siapnya fasa pertama pembinaan pelabuhan berkenaan, masa pengangkutan laut dari Peru ke China dapat dipendekkan kepada 23 hari, selain kos logistik dijimatkan lebih 20 peratus.


Ia akan turut menjana pendapatan tahunan sebanyak USD4.5 bilion (RM20.1 bilion) untuk Peru, di samping menawarkan lebih 8,000 peluang kerja secara langsung.


Disambung dengan Lebuh Raya Pan-Amerika, Pelabuhan Chancay juga menyumbang ke arah mewujudkan landskap kesalinghubungan yang berdimensi, pelbagai dan efisien mencakupi Peru dan negara Amerika Latin lain, sekali gus memacu pembangunan dan integrasi Amerika Latin dan rantau Caribbean.

Selain perasmian Pelabuhan Chancay, pemimpin dua negara juga menyaksikan penandatanganan pelan kerjasama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Lalaun (BRI) dan protokol mengenai penaiktarafan perjanjian perdagangan bebas.


Untuk menaik taraf kerjasama pragmatik antara China dan Peru, Xi menyarankan dua negara memperkukuh 'pacuan dua roda' iaitu perdagangan dan pelaburan, memajukan industri tradisional dan industri baru muncul secara serentak, serta menggalakkan integrasi rantaian perindustrian dan bekalan.


Menurut penganalisis, saranan berkenaan menepati keperluan kerjasama ekonomi dan perdagangan China-Peru dan memberi panduan kepada usaha memperkasa penyelarasan strategi pembangunan serta meneroka potensi kerjasama antara kedua-dua negara.