Xi Seru Sinergi ke Arah Globalisasi Ekonomi Inklusif
Usaha harus dipergiat untuk mengemudikan globalisasi ekonomi ke arah yang betul serta berganding tenaga mewujudkan globalisasi ekonomi yang inklusif demi manfaat semua negara dan pelbagai komuniti.
Presiden China Xi Jinping membuat kenyataan itu menerusi ucapan bertulis sempena Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Lima, Peru pada Jumaat.
Xi berkata perlunya menjadikan inovasi sebagai pemacu pertumbuhan kukuh ekonomi sejagat.
Kemajuan dalam sains dan teknologi harus memberi manfaat kepada seluruh umat manusia, kata beliau sambil menambah bahawa bantuan harus dihulurkan kepada negara membangun dari segi pembinaan keupayaan mereka dalam teknologi serta penggalakan aliran pengetahuan dan teknologi di peringkat global.
Hendaklah mengikuti perkembangan zaman dan melakukan reformasi terhadap sistem tadbir urus ekonomi global, ujar beliau.
Xi memberi penekanan kepada pengukuhan representatif dan hak bersuara Selatan Global, serta wujudnya kesamarataan hak, peluang dan peraturan ketika semua negara menjalankan kerjasama ekonomi antarabangsa.
Antara aspek penting lain yang dititikberatkan beliau ialah pendekatan berpaksikan rakyat menjadi pegangan dalam menyelesaikan ketidakseimbangan pembangunan.
Selain berpusatkan rakyat, Xi berkata globalisasi ekonomi juga perlu memfokuskan kepada pembangunan lebih seimbang dengan menyediakan lebih banyak peluang yang sama rata supaya semua negara serta segenap lapisan dan komuniti dapat beroleh manfaat daripada pembangunan.