Xi, Biden Bertemu di Luar AELM
China sedia bersama Amerika Syarikat (AS) mengekalkan dialog, memperluas kerjasama dan mengurus perbezaan pendapat sebagai usaha memastikan hubungan bilateral terus beralih ke arah stabil.
Presiden Xi Jinping membuat kenyataan itu semasa pertemuan bersama rakan sejawatnya dari AS Joe Biden di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 di Lima, Peru pada Sabtu.
Xi berkata persaingan antara kuasa besar tidak sepatutnya menjadi logik asas sezaman, hanya solidariti dan kolaborasi dapat membantu manusia mengatasi kesukaran semasa.
Kerjasama saling untung menjana pembangunan bersama, manakala keterbukaan dan perkongsian memajukan kesejahteraan manusia, ujar beliau.
Menurut Xi, China dan AS perlu terus meneroka cara pergaulan yang betul antara kuasa besar dan mencapai kewujudan bersama secara damai buat jangka panjang di planet ini.
Xi menekankan bahawa matlamat China ke arah hubungan Beijing-Washington yang stabil, sihat dan mampan kekal tidak berubah, begitu juga komitmen untuk mengendalikan hubungan dua hala berdasarkan prinsip saling hormat, hidup bersama secara aman dan kerjasama saling untung.
Beliau turut menyatakan China konsisten dalam pendirian mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan sendiri, serta aspirasi meneruskan persahabatan tradisional antara rakyat kedua-dua negara.
Sementara itu, Biden mengulangi janji dibuatnya iaitu tidak mengejar Perang Dingin baharu, takkan mengubah sistem pentadbiran China atau menentang China melalui pengukuhan ikatan sekutu serta tiada niat untuk berkonflik dengan China.