China, Brazil Naik Taraf Hubungan
China dan Brazil sepakat menaik taraf hubungan dua hala kepada komuniti berkongsi nasib ke arah dunia yang lebih adil dan planet yang lebih mampan.
Keputusan itu dibuat semasa pertemuan Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatannya Luiz Inacio Lula da Silva di Brasilia, Brazil pada Rabu.
Untuk perkembangan hubungan bilateral pada masa depan, Xi mencadangkan dua negara terus mengukuhkan kesalingpercayaan strategik, memperkasa penyelarasan strategi pembangunan, mempamerkan kekuatan masing-masing dalam menjaga keamanan dan keadilan dunia selain bersama-sama menyumbang kepada pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan.
Xi berkata China komited bekerjasama dengan Brazil untuk menjayakan Forum China-CELAC, mengukuhkan penyelarasan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan kelebihan dan keperluan pembangunan rantau Amerika Latin dan Caribbean (LAC), sambil memastikan lebih banyak hasil dibuahkan dalam pembinaan komuniti berkongsi nasib China-LAC.
Lula pula berkata pihaknya sedang giat menggerakkan strategi pembangunan seperti Program Pecut Pertumbuhan, Pelan Perindustrian Baharu dan Inisiatif Laluan Integrasi Amerika Selatan, yang selaras dengan inisiatif BRI.
Usaha meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan kedua-dua negara akan memacu proses pengindustrian semula Brazil, menggalakkan integrasi Amerika Selatan, sekali gus menjadi contoh perpaduan dan kerjasama saling untung di kalangan negara membangun.
Lula menambah pihaknya akan memperhebat komunikasi dan kerjasama dengan China dalam rangka multilateral seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), BRICS dan Kumpulan 20 (G20) untuk meningkatkan hak bersuara dan pengaruh Selatan Global dalam tadbir urus sejagat.
Brazil juga bersedia mengekalkan koordinasi pelbagai hala yang rapat dengan China untuk memberi sumbangan positif kepada penyelesaian secara damai isu panas global termasuk krisis Ukraine.