China Main Peranan Signifikan dalam APEC: Presiden Peru

2024-11-25 14:47:18  CRI
Share with:

China memainkan peranan signifikan dalam perhubungan ekonomi antara 21 entiti ekonomi APEC, kata Presiden Peru Dina Boluarte.


Beliau turut menzahirkan komitmen untuk terus merapatkan hubungan ekonomi dan perdagangan dengan China dan menjadikan negara Tembok Besar sebagai teladan.


"China mengajar kami bagaimana membasmi kemiskinan tegar dan muncul sebagai sebuah negara yang kuat.


"Kami belajar daripada pengalaman China bahawa tiada yang mustahil," ujar Boluarte dalam temu bual bersama wartawan Kumpulan Media China (CMG).


Majlis perasmian Pelabuhan Chancay yang berlangsung pada malam 14 November waktu tempatan, turut disaksikan Presiden China Xi Jinping bersama Presiden Dina Boluarte menerusi pautan video.


Boluarte melihat Pelabuhan Chancay mempamerkan peranan positif yang dimainkan China di rantau Pasifik.


"Bagi Peru, Pelabuhan Chancay membawa peluang besar dari segi ekonomi dan teknologi.


"Ia bukan pelabuhan biasa, tetapi merupakan sebuah pelabuhan yang dilengkapi teknologi tinggi dan baharu," kata beliau.


Menurut beliau, pelabuhan itu akan menjimatkan masa dan kos pengangkutan dari Amerika Latin ke Asia, malah tempat lebih jauh di dunia.


Boluarte berharap semua negara di benua Amerika seperti Brazil, Colombia, Ecuador, Argentina, Chile dan sebagainya dapat meraih manfaat daripada Pelabuhan Chancay.


Menyentuh Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Boluarte menganggap inisiatif itu menyediakan contoh yang patut dipelajari dalam aspek saling menghormati serta memelihara keadilan dan kedamaian.


Tambah beliau, Peru komited terus menyertai kerjasama berorientasikan BRI, memperluas pasaran ekonomi dan mendorong pembangunan negara pasaran baru muncul.