Syarikat Malaysia Perlu Manfaatkan CISCE Untuk Teroka Pasaran Lebih Besar

2024-11-26 16:49:56  CRI
Share with:

Syarikat dan perusahaan Malaysia perlu memanfaatkan sebaik-baiknya penganjuran Ekspo Rantaian Pembekalan Antarabangsa China (CISCE) bagi mempromosi dan mengetengahkan produk dan rantaian bekalan negara ke pasaran yang lebih besar.


 

Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia di China (MayCham) Loh Wee Keng berkata CISCE berbeza dengan ekspo atau pameran lain kerana ia bukan hanya memfokuskan kepada satu-satu produk sebaliknya keseluruhan rantaian bekalan.

 

Katanya lebih istimewa CISCE edisi ke-2 kali ini yang berlangsung selama lima hari bermula 26 sehingga 30 November menyaksikan penyertaan lebih 620 perusahaan, institusi dan organisasi antarabangsa iaitu peningkatan 20 peratus berbanding edisi pertama. Malah ekspo kali ini juga disertai kira-kira 69 negara dan wilayah dengan jumlah pempamer antarabangsa juga meningkat berbanding edisi lalu.

 

“Dari segi ini kita boleh dapatkan banyak pelanggan, kita juga boleh dapatkan syarikat yang pakar dalam teknologi canggih untuk membantu kita meningkatkan hasil, bukan hanya dapat jual produk sendiri tapi ada syarikat yang boleh bantu kita tingkatkan mutu sesuatu produk. Ini perbezaan ekspo rantaian bekalan dengan ekspo produk,” ujar Loh.


 

Sementara itu ketika ditanya wartawan CGTN Malay mengenai bidang yang boleh diteroka oleh Malaysia di China, katanya memasuki era yang moden, Malaysia kini perlu memfokuskan kepada kerjasama melibatkan teknologi canggih dalam pelbagai bidang di China.

 

Ujarnya China mempunyai kepakaran dan teknologi yang sangat bagus dalam pelbagai bidang seperti pertanian, perlombongan dan beberapa bidang lain. Justeru Malaysia perlu meningkatkan kerjasama dengan China dalam bidang baharu seperti ini supaya Malaysia juga mampu menghasilkan pakar dan teknologi yang berkualiti sekali gus memacu ekonomi negara.