Dari Muafakat Jiran Hinggalah Visi Global

2018-05-09 09:55:56  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_1122797007_15257133062501n

Perdana Menteri China, Li Keqiang yang dalam rangka lawatan rasmi ke Indonesia telah bertemu dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi) kelmarin.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan itu, kedua-dua pihak memberi pengiktirafan penuh terhadap kemajuan ketara hubungan bilateral sejak perkongsian strategik komprehensif dijalin lima tahun lalu.

China dan Indonesia bersetuju merancakkan kerjasama melibatkan segenap aspek di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa dalam rangka perkongsian tersebut.

Jika meneliti ucapan dua pemimpin dan kenyataan bersama itu, jelas menunjukkan kerjasama pragmatik melibatkan bidang ekonomi dan perdagangan, pelaburan serta infrastruktur adalah bergerak seiring dengan penyelarasan strategi pembangunan bervisi tinggi kedua-dua negara.

Kerjasama berkenaan juga memperlihatkan susun atur China dan Indonesia dalam usaha membangunkan komuniti berkongsi nasib sesama insan dari peringkat dua hala, serantau hingga global.

Semasa lawatan di Indonesia pada tahun 2013, Presiden Xi Jinping buat kali pertama mengemukakan saranan untuk membangunkan  Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21, yang merupakan acuan asal inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R).

图片默认标题_fororder_1122797013_15257183767821n

B&R mendapat sahutan positif negara-negara ASEAN, yang turut memperkenalkan strategi pembangunan masing-masing untuk diselaraskan dengan inisiatif tersebut. Antaranya termasuk wawasan "Fulkrum Maritim Global" yang dikemukakan oleh Jokowi pada tahun 2014.

PM Li dan Presiden Jokowi telah menyaksikan penandatanganan siri dokumen kerjasama melibatkan infrastruktur dan kewangan, serta memorandum persefahaman (MoU) mengenai pembangunan koridor ekonomi bersepadu serantau.

Jalinan ini memperlihatkan kedua-dua negara komited memperkasakan sinergi inisiatif B&R dan wawasan "Fulkrum Maritim Global", dengan diterajui kerjasama perdagangan, pelaburan dan infrastruktur.

Dalam rundingan dengan Jokowi, PM Li menegaskan bahawa China bersedia bersama-sama Indonesia menggalakkan penaiktarafan kerjasama China-ASEAN, di samping bergabung tenaga dengan negara-negara Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur (BIMP-EAGA) untuk membina mod baharu kerjasama subkawasan “4+1”.

Semasa berada di Sekretariat ASEAN pula, Li telah menyatakan kesediaan pihak China untuk membentuk komuniti berkongsi nasib yang lebih erat dengan ASEAN, sekali gus membuka lembaran baharu ikatan kerjasama.

Meskipun PM Li sibuk dengan jadual yang padat sepanjang lawatan sehari di Indonesia, namun kehadiran beliau telah memaparkan pendekatan asas berhubung pembangunan komuniti berkongsi nasib sesama insan yang disyorkan Presiden Xi Jinping kepada khalayak Indonesia, iaitu masa hadapan dilakar di bawah mekanisme berlandaskan kerjasama global. Kerjasama berkenaan dimulakan dari peringkat bilateral, subkawasan, rantau hinggalah antarabangsa. Mod kerjasama baharu itu kini bukan sekadar di atas kertas, tetapi sedang dipergiat selangkah demi selangkah.

张弘