Sidang Kemuncak SCO Berakhir

2018-06-11 13:46:54  CRI
Share with:

Mesyuarat ke-18 Lembaga Pemimpin Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) berakhir di Qingdao, Provinsi Shandong China petang semalam. Presiden China, Xi Jinping ketika mempengerusikan sidang pleno telah menyatakan pandangan untuk menyemarakkan “semangat Shanghai” dan menubuhkan komuniti berkongsi nasib SCO. Anjuran beliau mendapat sambutan daripada masyarakat antarabangsa.

 

Xi telah menyampaikan ucaptama tentang topik tersebut dalam upacara perasmian. Beliau menyatakan, sejak ditubuhkan 17 tahun yang lalu, SCO telah menempuh pelbagai cabaran dan mencapai kemajuan yang cemerlang, sehingga menjalinkan perkongsian yang membina berdasarkan prinsip tidak bersekutu, tidak berkonfrontasi dan tidak menyasarkan pihak ketiga. Ini merupakan satu perkara baharu dalam hubungan antarabangsa, dan mencipta model kerjasama serantau yang baharu, sekali gus menyumbang kepada kedamaian dan pembangunan serantau.

   

Menteri Penasihat Kedutaan Besar Rusia ke China, yang juga Wakil Tetap Rusia ke Sekretariat SCO, Dmitry Lukyntsev ketika menerima wawancara menyatakan, ucapan Xi merupakan pandangan yang jelas dan tepat terhadap situasi serantau dan dunia, anjuran beliau pasti akan mendapat sokongan pelbagai anggota dan dilaksanakan bersungguh-sungguh.

   

Dekan Fakulti Politik Universiti Punjabi Pakistan, Dr Amjad Abbas berpendapat, cadangan Xi tentang penubuhan komuniti berkongsi nasib amat bermakna bagi kerjasama pelbagai anggota SCO pada masa depan. Katanya, Xi menegaskan konsep menang-menang dan berkongsi, pelbagai anggota haruslah mengetepikan perselisihan dan membawa hasil pembangunan kepada setiap negara.

   

Duta Besar India ke China, Gautam Bambawale menyatakan, ucaptama Presiden Xi telah menggariskan hala tuju perkembangan SCO pada masa depan. Beliau menanti-nantikan India memainkan peranan lebih besar dalam rangka pertubuhan tersebut.

胡星