Terus Mara Biar Ribut Petir

2018-08-10 19:30:42  CRI
Share with:

"Sebagaimana batu jed bergemerlapan digilap bersusah payah, begitu juga manusia cekal ditempa perit getir", beginilah diibaratkan laluan pembangunan China yang disimpulkan Presiden Xi Jinping dalam forum BRICS di Afrika Selatan bulan lalu.

Mengimbas kembali ketika Republik Rakyat China baru ditubuhkan pada 1949, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya lebih USD10 bilion (RM41 bilion), dan hampir tiada industri berat, malah industri ringan hanya tekstil.

Banyak kesukaran dialami seperti blokade dari segi ekonomi, pertempuran di tebing Sungai Yalu semasa Perang Korea dan bencana alam yang berlaku pada tahun 1959 hingga 1961.

Setelah tabah mengharungi ribut petir, benih usaha yang ditabur akhirnya berputik dan dituai.

Kini, China telah bangkit sebagai entiti ekonomi kedua terbesar di dunia dengan populasi lebih 1.3 bilion. Lebih 13 juta rakyat dibantu keluar daripada belenggu kemiskinan setiap tahun. Sistem jaminan sosial makin lengkap, meliputi pendidikan, pekerjaan, perubatan, perumahan dan sebagainya. 

Gunung cerun dan laut bergelora baru dikatakan megah. Walaupun seribu batu telah ditapak, masih banyak onak ranjau perlu ditempuhi. Kehidupan baik tidak akan diperoleh dengan mudah bak bulan jatuh ke riba.

Banyak masalah kesan sampingan mengejar kemajuan pesat perlu diselesaikan. Masih banyak yang harus dilakukan untuk mengalih tumpuan pembangunan daripada kepesatan kepada kualiti, di samping menyeimbangkan pembangunan tempat-tempat berbeza, memodenkan sistem dan kemampuan tadbir urus negara serta membina China yang indah.

Walau apa jua ribut membadai, tenang dan sabar jalan ke arah merealisasikan impian kebangkitan nusa dan bangsa.

Pada masa ini, China sedang berada pada tempoh keemasan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.

China salah satu negara yang berprestasi paling baik dalam proses pembangunan dan berpotensi paling besar. Pada era baharu ini yang menjanjikan limpahan peluang, China berkeyakinan penuh untuk terus mara ke depan.

Sistem sosialis bercirikan China adalah jaminan asas bagi pembangunan dan kemajuan China pada zaman ini, yang melindungi dan memperluas kepentingan rakyat secara berkesan. 

Bagai pain berdiri tegak walau ditimbun salji tebal, bangsa Cina tidak kenal erti penat lelah dan takkan tunduk berdepan ujian dan dugaan.

Dengan ekonomi yang mantap, China dipercayai mampu memastikan hasil pembangunan dinikmati semua rakyat.

Setiap anggota masyarakat harus ingat akan tugas masing-masing dan membaktikan sepenuh tenaga demi masa depan negara.

Kepada pekerja biasa, halusi kemahiran hingga menjadi artisan dalam kerjaya; kaum tani, membanting tulang menyumbang kepada pembangunan desa yang indah. Usahawan, bangkitkanlah keberanian mengharungi pasang surut pasaran; ahli sains, jadikan inovasi matlamat perjuangan. Belia, semailah cita-cita tinggi dan berjuang dengan cara sendiri. 

Perjuangan bersama seluruh rakyat untuk menjadikan impian satu kenyataan, sumber motivasi yang menyuntik kedinamikan dan momentum yang tidak luntur kepada China.

Setiap orang tahu, tanpa hujan tiada pelangi. Betapa kuat sekalipun ribut petir, tetap tidak dapat memadamkan semangat membara rakyat China untuk mengejar kehidupan lebih baik.

 

周乔西