Kertas Putih China mengenai Pergeseran dengan AS

2018-09-24 14:28:21  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_1123481694_15378956313561n

Pejabat Penerangan Dewan Negara China hari ini mengeluarkan Kertas Putih mengenai pergeseran perdagangan China-AS, yang menjelaskan situasi sebenar dan pendirian China dalam hal berkenaan, di samping menggalakkan penyelesaian secara munasabah.

Kertas Putih sepanjang kira-kira 36 ribu perkataan itu terdiri daripada enam bahagian, iaitu kerjasama yang saling menguntungkan, hubungan ekonomi dan perdagangan, amalan perlindungan dan hegemoni yang dikejar AS dalam perdagangan, impak tindakan AS terhadap ekonomi dunia, serta pendirian China.

Dokumen itu menyatakan bahawa China negara membangun paling besar, manakala AS negara maju paling besar. Hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS membawa makna penting kepada kedua-dua negara, begitu juga terhadap ketenteraman dan pembangunan dunia.

China dan AS mempunyai fasa pembangunan dan sistem ekonomi yang berbeza. Pergeseran perdagangan antara kedua-dua negara ini adalah hal biasa. Memperkasakan rasa saling percaya, menggalakkan kerjasama dan mengendalikan persengketaan dengan baik adalah kuncinya.

Untuk sekian lama, kerajaan kedua-dua negara menjalankan komunikasi dan penyelarasan berdasarkan prinsip sama rata dan rasional. Usaha telah dilakukan untuk mengatasi pelbagai rintangan dalam hubungan ekonomi dan perdagangan, hingga menjadi asas kukuh hubungan dua hala sepanjang 40 tahun lalu.

Kertas Putih itu menyatakan sejak bermulanya penggal baharu kerajaan AS, Washington mengabaikan kelaziman dalam interaksi antarabangsa seperti saling hormat dan berunding secara sama rata, malah mengamalkan unilateralisme dan perlindungan perdagangan serta mengejar hegemoni dalam ekonomi, di bawah slogan "Utamakan AS".

Banyak tuduhan tidak berasas telah dilemparkan oleh AS terhadap negara lain terutamanya China, dan kehendaknya dipaksa ke atas negara ini melalui pelaksanaan tarif dan ugutan lain.

Berdepan situasi ini, China tetap berpendirian agar penyelesaian dicari melalui dialog. AS bagaimanapun terus mengambil tindakan yang menjejaskan hubungan ekonomi dan perdagangan dengan China, hingga merosakkan sistem perdagangan multilateral dan perdagangan bebas.

Kertas Putih berkenaan turut menekankan perkaitan antara hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala dengan kesejahteraan rakyat, bahkan keamanan, kemakmuran dan kestabilan dunia. Menurutnya, kerjasama satu-satunya pilihan yang betul, kerana situasi menang-menang membawa masa depan yang lebih cerah buat kedua-dua negara. Pendirian China dalam hal ini adalah jelas, konsisten dan teguh.

覃淼