China Mampu Kawal Impak Perang Perdagangan

2018-09-25 16:59:48  CRI
Share with:

Pejabat Penerangan Dewan Negara China mengadakan sidang akhbar di Beijing hari ini, untuk menjelaskan isu pergeseran ekonomi dan perdagangan China-Amerika Syarikat (AS).

Turut hadir, pegawai dari Kementerian Perdagangan, Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC), Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat, Kementerian Kewangan serta Jabatan Harta Intelek Negara.

Menurut pegawai berkenaan, pergeseran ekonomi dan perdagangan dicetuskan AS secara sepihak mungkin memberikan impak terhadap rantaian industri global, namun China mampu menanganinya dengan memperluas permintaan domestik hingga menggalakkan pembangunan berkualiti tinggi.

Sejak awal tahun ini, pergeseran yang dicetuskan AS secara sepihak itu menjadi tumpuan seluruh dunia. Pada 24 September, China mengeluarkan Kertas Putih mengenai persegeran perdagangan tersebut, yang menjelaskan situasi sebenar dan pendirian China dalam hal berkenaan, di samping menggalakkan penyelesaian secara munasabah.

Wang Shouwen, Naib Menteri Perdagangan China merangkap naib wakil rundingan perdagangan antarabangsa, menyatakan bahawa China sentiasa komited untuk duduk berunding bagi menyelesaikan pergeseran ekonomi dan perdagangan dengan AS.

Dapatkah rundingan peringkat tinggi dipulihkan, bergantung sepenuhnya pada AS. Sekiranya mahu berhasil, rundingan perlu diadakan secara sama rata dan saling hormat. Kedua-dua pihak perlu bersikap ikhlas, selain menunaikan janji masing-masing.

Pada 24 September, AS menguatkuasakan tarif tambahan terhadap produk China bernilai USD200 bilion (RM827 bilion).

Naib ketua NDRC, Lian Weiliang menyatakan bahawa walaupun tindakan itu akan memberikan kesan langsung atau tidak langsung terhadap ekonomi China, namun negara ini mampu mengawal risiko dan mewujudkan pembangunan berkualiti tinggi melalui langkah memperluas permintaan domestik.

Dalam konteks globalisasi ekonomi, pergeseran perdagangan China-AS tentu akan memberikan impak terhadap rantaian industri global.

Naib Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Luo Wen menyatakan bahawa unilateralisme dan perlindungan perdagangan, serta hegemoni yang dikejar AS dalam perdagangan memaksa pelbagai negara di dunia mengambil tindakan balas masing-masing.

Tindakan AS menguatkuasakan tarif tambahan menjejaskan perdagangan komoditi dalam lingkungan glogal, dan merendahkan efisiensi operasi ekonomi antarabangsa. Dalam konteks ini, semakin besarlah risiko sistem ekonomi dan perdagangan antarabangsa dimusnahkan, dan rantaian industri global hilang keteraturan.

覃淼