Pertukaran Budaya dan Pendidikan Rapatkan Dua Negara

2018-11-17 11:36:50  CRI
Share with:

图片默认标题

(Alilah dalam Konsert Persahabatan China-ASEAN 2017 di Zhengzhou)

 

Brunei Darussalam, titik pertemuan penting dalam Laluan Sutera Maritim pada zaman dahulu, akan menerima kunjungan rasmi Presiden China, Xi Jinping pada 18 hingga 20 November.

Dengan pelaksanaan inisiatif Jalur dan Laluan (B&R) yang disyorkan Presiden Xi sejak lima tahun lalu, pertukaran antara China dengan Brunei Darussalam dalam bidang kebudayaan dan pendidikan semakin rancak, yang turut meningkatkan persefahaman dalam kalangan rakyat kedua-dua negara.

Kini, semakin ramai warga Brunei Darussalam bekerja atau melanjutkan pelajaran di China. Warga China pula semakin ramai yang bertapak dan membina kerjaya di negara Brunei Darussalam.

Kelly Tan, seorang guru di Sekolah Menengah Chung Hwa pernah belajar di Universiti Jinan di bandar Guangzhou China selama empat tahun. Beliau amat mengagumi kemudahan di China terutamanya dalam aspek teknologi maklumat.

Menurutnya, membeli-belah secara dalam talian amat memudahkan di Taobao, platform e-dagang terbesar di China. Pelanggan tidak perlu keluar dari rumah, malah boleh menukar atau memulangkan barangan yang telah dibeli untuk pembayaran balik dalam masa tujuh hari selepas penghantaran. Selain itu, terdapat platform perkhidmatan penstriman video seperti Youku dan IQIYI yang menyediakan banyak maklumat kepada netizen.

Zhang Qingfu dari Guangxi, China sudah bertugas sebagai guru di Brunei Darussalam selama 11 tahun. Beliau berkata, ketika mula-mula datang ke Brunei Darussalam pada 2007, ibu bapa pelajar masih beranggapan keadaan di China masih seperti pada tahun 1970an. Namun, tanggapan mereka berubah setelah menyaksikan penganjuran Sukan Olimpik 2008 di Beijing. Kini, semakin ramai ibu bapa menghantar anak mereka untuk belajar bahasa Mandarin.

 

图片默认标题

(Li Hui, jurulatih Wusyu dari China)

Selain bahasa Mandarin, Wusyu yang sinonim dengan budaya China juga amat dikenali dan diminati ramai di Brunei Darussalam, khususnya sejak pasukan Wusyu Brunei Darussalam meraih pingat emas dalam Sukan Asia Tenggara 2013 dengan bimbingan seorang jurulatih warga China.

Langkah pertama bermula dari sifar. Dengan menjejak kaki ke sekolah satu demi satu untuk mencungkil bakat golongan muda, jurulatih, Li Hui yang berasal dari China akhirnya membantu Brunei Darussalam menubuhkan pasukan Wusyu. Setiap titisan peluh yang dicurahkan tidak menjadi sia-sia apabila mereka tampil mengharumkan nama negara.

Wusyu, khazanah berharga yang beransur-ansur berakar umbi di Brunei Darussalam, menjadi jendela bagi rakyat setempat untuk mengenal budaya China. Sebuah lagu yang dibawakan oleh artis Brunei Darussalam pula membolehkan rakyat China mendekati seni muzik negara itu.

Alilah yang mempertaruhkan lagu berjudul ‘Tinggalkan Saja Aku’ menempa namanya di pentas muzik China sempena Konsert Persahabatan China-ASEAN 2017 di Zhengzhou.

Mengimbas pengalaman menyanyi di hadapan khalayak ramai di China, Alilah berkata: “Peluang untuk tampil dalam konsert itu amat bermakna. Saya berasa sangat bertuah kerana terpilih mewakili Brunei Darussalam untuk membuat persembahan di China. Ini juga peluang bagi saya untuk melebarkan lagi bakat seni saya di luar negara. Kalau mendapat peluang keemasan seperti ini lagi, saya tidak akan ragu-ragu untuk datang dan memberikan persembahan lebih hebat. Saya teringin untuk menyanyi lagu bahasa Mandarin sebagai penghargaan dan hadiah kepada penduduk China.”

Penerbit Radio dari Radio Televisyen Brunei (RTB), Muhammad Alif Amsyar Izzul Islam bin Suhaili juga turut terlibat dalam Konsert Persahabatan China-ASEAN 2017. Ketika ditanya makna konsert tersebut bagi rakyat kedua-dua negara, beliau berkata, “Acara sebegini memberi peluang untuk kedua-dua negara lebih saling mengenali terutama dari aspek kebudayaan dan perkongsian muzik yang mungkin ada perbezaan tapi tujuannya tetap sama. Kita juga dapat saling berkongsi ilmu terutamanya cara bekerja serta dapat saling mengenali dan mendalami budaya setiap negara.”

王瑾