Pertemuan Pemimpin Kukuh Hubungan China-Kemboja

2019-01-22 14:03:56  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_1124022396_15480785011801n

China dan Kemboja harus bersama-sama membina komuniti berkongsi nasib yang signifikan dari segi strategik, sekali gus membuka lembaran baharu hubungan bilateral dalam 60 tahun akan datang.

Demikian dinyatakan oleh Presiden China, Xi Jinping ketika bertemu dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen di Beijing semalam.

Sambil menyatakan tahun lalu ulang tahun ke-60 ikatan diplomatik, Xi memuji kemajuan dalam hubungan bilateral.

Katanya, China menyokong Kemboja menempuh jalan pembangunan yang sesuai dengan keadaan sendiri dan yakin Kemboja mampu melakar kecemerlangan lebih besar dalam pembangunan negara. Kedua-dua negara hendaklah mengekalkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, memperkasakan perkongsian pengalaman dalam pentadbiran negara, meningkatkan interaksi antara kerajaan, badan perundangan dan parti politik serta peringkat setempat, di samping memperdalam komunikasi dan penyelarasan dalam mekanisme multilateral seperti PBB, China-ASEAN dan Kerjasama Lancang-Mekong.

Beliau melahirkan harapan agar penyelarasan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan strategi pembangunan Kemboja dipercepat serta kerjasama dirancakkan melibatkan pengangkutan, kapasiti pengeluaran, tenaga, perdagangan dan kesejahteraan rakyat. Beliau juga mahu sinergi lebih rapat dalam bidang budaya, pelancongan, perlindungan dan pemuliharaan warisan budaya dan interaksi belia.

Hun Sen memulakan lawatan ke China kelmarin, kunjungan pertamanya ke luar negara pada tahun ini. Beliau yang menyifatkan keakraban hubungan kedua-dua negara bagai saudara bertali darah, berharap pertemuan dengan pemimpin China dapat melonjakkan perkongsian strategik komprehensif. 

张弘