Perlu Sama-sama Suntik Tenaga Positif

2019-08-13 14:45:13  CRI
Share with:

China dan Jepun telah bersetuju untuk membangunkan hubungan yang sesuai dengan keperluan era baharu, menurut persepakatan yang dicapai hasil dialog strategik di Nagano, Jepun baru-baru ini. 

Dewasa ini, situasi dunia mengalami perubahan yang rumit. 

Amalan unilateral dan perlindungan Amerika Syarikat (AS) telah mengundang risiko kepada ekonomi dunia, dan impaknya turut dirasai oleh Jepun. Selaku dua ekonomi terbesar di Asia, China dan Jepun mempunyai kepentingan sama untuk melindungi multilateralisme dan order perdagangan yang bebas.

China dan Jepun juga jiran yang tidak dapat dipisahkan. Ekonomi kedua-dua negara saling melengkapi, manakala kepentingan saling bersangkut paut. 

Sejak 2007 lagi, China bergelar rakan dagang terbesar bagi Jepun. Pada tahun lepas, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara meningkat 8.1% berbanding tahun sebelumnya, dengan melebihi USD327 bilion (RM1.37 trilion). Dalam tempoh sama, jumlah eksport China ke Jepun naik 7.2%, sementara import 8.9%. 

Dalam pertemuan semasa sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Osaka, Jepun pada Jun lalu, Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe telah mencapai sepuluh konsensus yang sekali gus menetapkan hala tuju hubungan dua hala.

Penyambungan dialog strategik selepas tujuh tahun tergendala, juga antara konsensus yang dicapai. Pada masa akan datang China dan Jepun perlu memperkukuh kerjasama saling untung melibatkan segenap aspek termasuk inovasi sains dan teknologi, perlindungan harta intelek, serta ekonomi, perdagangan, pelaburan, kewangan, perubatan, penjimatan tenaga, perlindungan alam sekitar dan pelancongan. 

Walau begitu, masih wujud isu-isu sensitif yang telah lama menimbulkan kebimbangan kedua-dua negara. 

Semasa lawatan ke Asia Pasifik baru-baru ini, Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper menunjukkan sokongannya terhadap penempatan peluru berpandu jarak sederhana di Asia susulan penarikan diri AS daripada Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF). Jika Jepun selaku sekutu penting AS di Asia Pasifik mengikut telunjuk kuasa Barat itu, keselamatan dan ketenteraman seluruh rantau nescaya terjejas. 

Dalam konteks sedemikian, adalah mustahak bagi China dan Jepun mengendalikan isu-isu sentitif dengan berhati-hati dan mencipta suasana yang kondusif bagi pembentukan hubungan yang memenuhi keperluan era baharu ini.

张宪