Tidak Benar Dakwa Syarikat Undur dari China

2019-09-12 13:08:09  CRI
Share with:

Penyelidik kanan dari kumpulan pemikir Institut Ekonomi Antarabangsa Peterson Amerika Syarikat (AS), Nicholas R. Lardy, dalam rencana ulasannya, menyangkal dakwaan sesetengah politikus negara itu yang menyebut banyak syarikat asing telah menarik diri dari pasaran China.

Beliau menyatakan, pergeseran ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara tidak menjejaskan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke China.

Beliau menekankan, FDI bukan kewangan sedang mengalir masuk ke China dengan peningkatan hampir USD140 bilion setahun, yang bermakna beribu-ribu syarikat modal asing baharu ditubuhkan di China setiap bulan.

Tinjauan terbaru Suruhanjaya Kebangsaan bagi Perdagangan AS-China mendapati, 97% syarikat yang ditinjau merekodkan keuntungan dalam urus niaga di China, manakala 87% tiada hasrat untuk memindahkan pangkalan pengeluaran mereka dari negara ini.

Lardy menyatakan, walaupun AS mengenakan tarif tambahan terhadap produk yang diimport dari China, namun syarikat multinasional masih menganggap China memiliki iklim yang sesuai untuk menarik pelaburan.

覃淼