AS Dibolehkan Ambil Langkah Balas

2019-10-15 14:28:38  CRI
Share with:
Badan Penyelesaian Sengketa (DSB) Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) meluluskan permohonan AS untuk mengambil langkah balas terhadap Kesatuan Eropah (EU) susulan kes subsidi Airbus.

Keputusan itu dibuat selepas WTO mendapati EU dan empat anggotanya iaitu Perancis, Jerman, Sepanyol dan Britain gagal memansuhkan subsidi kepada pengeluar kapal terbang Airbus yang membawa kerugian kepada saingnya di AS, Boeing.

AS kini boleh mengenakan langkah balas termasuk tarif tambahan terhadap barang dan perkhidmatan EU bernilai kira-kira USD7.5 bilion setiap tahun, mengikut dapatan WTO pada 2 Oktober.

Dalam mesyuarat DSB di Geneva semalam, EU mendakwa langkah balas seumpama akan menjejaskan perkembangan sektor penerbangan global serta sistem perdagangan dunia.

Terdahulu, EU mengatakan AS juga telah didapati salah oleh DSB kerana terus memberi subsidi haram kepada pengeluar pesawat sendiri. Dalam kes serupa membabitkan Boeing, EU akan diberi hak sama untuk mengambil langkah balas terhadap AS dalam beberapa bulan akan datang.

 

张哲