FOCAC Teraju Kerjasama Antarabangsa dengan Afrika

2020-01-13 14:13:02  CRI
Share with:

Infrastruktur yang bertambah baik dan kehidupan rakyat yang kian sejahtera, antara limpahan hasil yang dibawa Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) sejak penubuhannya dua dekad lalu.

Semasa sidang media bersama rakan sejawatnya dari Zimbabwe, Sibusiso Moyo di Harare semalam, Menteri Luar China, Wang Yi menyatakan semakin banyak negara menaruh perhatian kepada Afrika setelah melihat kerjasama China dengan benua tersebut, sekali gus memperbanyak peluang untuk pembangunannya.

Dengan terbina landasan kereta api dan lebuh raya yang masing-masing melebihi 6,000 kilometer serta hampir 20 pelabuhan dan 80 fasiliti pembekalan elektrik, proses pengindustrian Afrika telah dipacu sejajar dengan kemampuannya untuk membangunkan diri.

Dalam lima tahun lepas, sebanyak 130 kemudahan perubatan, 45 gimansium dan 170 sekolah dibina, serta 200 ribu orang diberi latihan dalam pelbagai bidang.

Dari segi perdagangan dan pelaburan pula, jumlah dagangan antara China dan Afrika memecahkan angka USD200 bilion (RM812 bilion) pada 2019.

Sepanjang 20 tahun lalu, China komited menjalankan kerjasama secara konsisten demi keuntungan dan pembangunan bersama dengan Afrika. Prinsip tidak mencampuri urusan dalaman negara lain menjadi pegangan, manakala bantuan dihulurkan tanpa disertakan sebarang prasyarat politik. Sebaliknya, China sentiasa mendengar suara hati, menghormati hasrat dan memenuhi keperluan Afrika.

高蕾