Tiada Jalan Keluar untuk Spekulasi Politik

2020-01-15 15:00:28  CRI
Share with:


Timbul lagi kontroversi dari dunia Barat apabila Datuk Bandar Prague, Zdenek Hrib menuduh China "rakan kongsi yang tidak boleh dipercayai".

Dalam rencana yang diterbitkan akhbar Jerman Welt am Sonntag pada 12 Januari, politikus dari ibu negara Czech itu turut mendakwa pihaknya akan menjalin hubungan bandar sahabat dengan Taipei. 

Rencana tersebut mengundang respons pejabat hal ehwal luar bandar Shanghai, yang membantah keras tindakan Hrib kerana mencabuli prinsip satu China serta menjejaskan persahabatan antara China dan Republik Czech.

Kerajaan bandar Shanghai turut mengumumkan keputusan menamatkan komunikasi rasmi dengan Prague.
 
Perbuatan Hrib dianggap bagi memenuhi kehendak sesetengah pihak yang mahu meracuni hubungan China dan Eropah. Tujuannya adalah untuk mencetuskan konflik, menyebarkan kebencian dan mencari kepentingan politik sendiri dengan membuat spekulasi.

Namun, bukanlah semua yang termakan kata-kata Hrib. Kerajaan Czech sendiri telah menyuarakan rasa tidak puas hati atas kelakuannya itu.

Presiden Milos Zeman mengecam Hrib kerana sengaja mahu merosakkan hubungan dengan China dan memusnahkan kepentingan negara secara sistematik. 

Katanya, kuasa diplomatik terletak di tangan kerajaan pusat. Kata-kata dan perbuatan seorang datuk bandar Prague tidak boleh mewakili pendirian kerajaan Republik Czech.

Ada netizen yang berpendapat, karangan Hrib itu pasti akan membinasakan kepentingan seluruh negara.

Dimaklumkan, jumlah perdagangan antara China dan Czech mencatat USD16.3 bilion (RM66.4 bilion) pada 2018. Jumlah pelaburan sebenar pihak China di republik itu pula mencecah USD2.4 bilion (RM9.8 bilion), yang turut mencipta lebih 6,000 peluang kerja.

Kebelakangan ini, jumlah pelancong China yang berkunjung ke Czech bertambah hampir 30% setiap tahun, menjadikannya sumber pelancong asing kelima terbesar bagi republik tersebut.

Maka, adalah selari dengan kepentingan bersama untuk melihat hubungan dua hala berkembang secara stabil dan harmoni. Sentimen anti-China yang hendak disebarkan pihak seperti Hrib mustahil dapat mengekang arus perkembangan hubungan China dan Republik Czech.

张宪