China Usaha Capai Sasaran Pembangunan

2020-02-14 13:58:37  CRI
Share with:

Barisan pemimpin tertinggi China sekali lagi memanggil mesyuarat pada Rabu lalu untuk membincangkan pencegahan dan kawalan wabak koronavirus baharu, serta pembangunan sosioekonomi negara.

Mesyuarat dipengerusikan Presiden Xi Jinping, juga merupakan yang ketiga diadakan dalam tempoh 19 hari. Ini menandakan situasi wabak telah menampakkan perubahan positif melalui pelaksanaan langkah-langkah tepat, dan China akan meminimumkan impak wabak dengan menyelaraskan kerja-kerja kawalan dengan pelan pembangunan sosioekonomi bagi mencapai sasaran tahun ini.

Perkembangan tersebut menyuntik keyakinan kepada rakyat China malah seluruh dunia.

China, entiti ekonomi kedua terbesar yang menyumbang kira-kira 30% kepada pertumbuhan sejagat. Hasil positif daripada kerja-kerja pencegahan dan kawalan wabak telah mencipta suasana kondusif untuk China merealisasikan sasaran pembangunan tahun ini.

Baru-baru ini, semakin banyak syarikat China menyambung semula operasi. Mesyuarat kelmarin menekankan pentingnya menyokong syarikat perdagangan luar memulakan semula pengeluaran dengan secepat mungkin, di samping mendorong pelaksanaan projek-projek mega melibatkan pelaburan asing, mengoptimumkan suasana pelaburan asing, serta melindungi hak dan kepentingan pelabur asing.

Pelbagai langkah sokongan telah diperkenalkan kebelakangan ini, termasuk pengurangan cukai, sokongan kredit dan dasar keutamaan berkaitan pengambilan pekerja yang bertujuan membantu syarikat mengatasi kesukaran.

Pada tahun ini, China akan mewujudkan masyarakat kaya secara menyeluruh. Walaupun tercetusnya wabak, rakyat China tidak akan ditakut-takutkan oleh masalah dan kesukaran, sebaliknya akan memenangi perjuangan melawan wabak malah berusaha mencapai sasaran pembangunan yang ditetapkan.

Kunci kejayaan dalam semua usaha tersebut ialah perpaduan, yang juga menjadi seruan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.

高蕾