Memang Parah Jika Putus Hubungan

2020-03-30 16:51:26  CRI
Share with:

Melihat kepada kesukaran yang dialami AS ekoran penularan wabak COVID-19, satu pengajaran penting yang perlu diambil negara itu adalah betapa mustahaknya membina semula kerjasama kesihatan awam dengan pihak China, yang musnah gara-gara perbuatan kerajaan Donald Trump.

Pandangan ini disuarakan oleh Peter Beinart, seorang profesor kewartawanan dan sains politik dari The City University of New York (CUNY), dalam rencananya yang disiarkan melalui laman sesawang majalah The Atlantik kelmarin.

Beinart beranggapan, kerjasama antara AS dengan China telah terbukti penting peranannya semasa melawan wabak SARS pada 2003, H1N1 pada 2009 dan Ebola pada 2014. Namun pada 2018, kerajaan Trump bertindak mengurangkan peruntukan terhadap kerja-kerja pencegahan wabak di peringkat global. Malahan pada tahun ini, sewaktu wabak koronavirus mula menyerang, Trump mencadangkan supaya bantuan kewangan negaranya kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dipotong separuh.

Dewasa ini, COVID-19 merebak pantas di seluruh wilayah AS, dan ternyata kerjasama negara itu dengan China tidak kurang pentingnya. Kesignifikanan hubungan AS dan China dalam konteks melawan wabak turut ditekankan oleh Tom Inglesby, pengarah keselamatan kesihatan Sekolah Kesihatan Awam Bloomberg di Universiti Johns Hopkins. Beliau menyarankan AS belajar daripada pengalaman China yang telah pun berjaya mengawal penularan COVID-19. China kini sedang menghantar peralatan pelindung dalam jumlah yang besar ke Eropah. Di AS, kakitangan perubatan khususnya doktor dan jururawat juga amat memerlukan bahan-bahan kegunaan melawan wabak seperti menutup mulut dan hidung, pelindung mata, sarung tangan, sut pelindung dan termometer. Malang sekali, tarif yang dikenakan AS telah menyukarkan proses pemerolehan barangan tersebut. Yang menjadikan situasi lebih tidak masuk akal, ahli Dewan Perwakilan, Jim Banks hendak melobi supaya tarif terus dinaikkan sebagai balasan kepada “virus China”.

Profesor Beinart menyatakan, penularan wabak COVID-19 telah memperjelas dua realiti yang sama sekali bertentangan dengan pandangan Donald Trump terhadap dunia.

Pertama, dalam dunia yang saling hubung ini, kerjasama lebih kukuh di persada global menjanjikan perlindungan yang baik bagi keselamatan rakyat biasa di AS. Untuk itu, sinergi yang lebih kukuh antara AS dengan China boleh dikatakan satu respons yang lojik terhadap dugaan-dugaan besar yang mendatang.

Kedua, keseimbangan pengetahuan dan kekuatan dalam dunia pada hari ini telah berubah. Ketika tercetusnya wabak SARS pada 2003, AS yang menjadi penunjuk jalan kepada China. Kini, tiba pula giliran China untuk mengajar doktor dan saintis AS cara untuk mengatasi wabak koronavirus baharu.

王瑾