Syarikat China Giat Hasilkan Ventilator

2020-03-31 14:09:42  CRI
Share with:
China telah membekalkan lebih 1,700 unit ventilator invasif kepada negara-negara lain sejak 19 Mac, jumlah yang mencapai separuh daripada keseluruhan output domestik sejak awal tahun ini.
 
Demikian dimaklumkan pegawai Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT), Xu Keming dalam taklimat media di Beijing semalam.
 
Xu berkata, permintaan terhadap kelengkapan perubatan dan rawatan terutamanya mesin ventilator invasif semakin meningkat di seberang laut, susulan pemerebakan pantas wabak tersebut di seluruh dunia pada masa ini.
 
Terdapat 21 pengeluar ventilator invasif di China, dan produk utama daripada lapan syarikat berkenaan telah memperoleh penandaan CE yang diwajibkan oleh Kesatuan Eropah (EU), mewakili satu perlima kapasiti pengeluaran seluruh dunia.
 
Sejak wabak COVID-19 tercetus, kerajaan China bertungkus lumus menggalakkan pemulihan operasi pengeluar kelengkapan perubatan, sambil membantu syarikat tersebut mengatasi masalah kekurangan komponen serta penghantaran dan logistik yang kurang lancar.
 
Pada masa ini, syarikat China berkenaan sedang bekerja lebih masa untuk mengeluarkan alat pengganti paru-paru tersebut.
 
Tambah Xu lagi, sebuah ventilator dipasang dan dilengkapi dengan hampir seribu komponen, sedangkan pembekal komponen utama beribu pejabat di dalam dan luar negara, maka bukanlah hal yang mudah untuk menambah pengeluaran secara besar-besaran pada ketika ini.
王瑾