Xi: Manfaatkan Potensi Ekonomi Digital Bagi Pulihkan Ekonomi Asia-Pasifik

2020-11-20 23:07:12  CRI
Share with:

China mencadangkan pelbagai pihak berkongsi pengalaman dalam usaha melawan pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi dengan menggunakan teknologi digital, mengoptimumkan persekitaran urus niaga digital, memanfaatkan potensi ekonomi digital bagi memberi dimensi baharu kepada pemulihan ekonomi rantau Asia-Pasifik.

Ketika menghadiri Mesyuarat Tidak Rasmi Pemimpin-pemimpin Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-27 yang diadakan secara maya malam tadi, Presiden China Xi Jinping dalam ucapannya berkata, ekonomi digital merupakan hala tuju perkembangan dunia pada masa depan. Dengan ini, peta jalan APEC dalam bidang internet dan ekonomi digital akan diperhalusi secara menyeluruh bagi mendorong perkenalan dan penggunaan teknologi baharu, dan memperkasakan pembinaan infrastruktur teknologi digital.

Di samping itu, Presiden Xi memaklumkan, China akan menganjurkan seminar pembasmian kemiskinan dengan teknologi digital pada tahun depan, dan memanfaatkan kelebihan teknologi tersebut untuk memberi bantuan kepada usaha pembasmian kemiskinan di rantau ini.

Dalam pada itu, Presiden Xi menegaskan, China menumpukan perhatian besar terhadap peranan yang dimainkan APEC dan akan terus menyokong perkembangan pertubuhan ini bagi membina dan memberi manfaat kepada rantau Asia-Pasifik.

曹捷