Syarikat farmaseutikal China, Sinovac dan Pharmaniaga Bhd menandatangani perjanjian berhubung pembekalan 14 juta dos vaksin secara pukal bagi menjalankan proses pembotolan di Malaysia, pada Selasa.
Majlis menandatangani perjanjian yang dilangsungkan secara maya itu turut disaksikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Semasa sesi taklimat, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan gembira melihat dua buah syarikat memeterai perjanjian kerjasama berkaitan vaksin. Ini bukan sahaja membantu Malaysia memperoleh bekalan yang mencukupi, malah bermanfaat untuk meningkatkan tahap pengkajian dan penghasilan vaksin.