Ong Tee Keat: BRI Mainkan Peranan Penting Pasca COVID-19

2021-04-20 13:06:16  CRI
Share with:

Hubungan persahabatan China dengan negara terlibat pembinaan Inisiatif “Jalur dan Laluan” (BRI) dapat dipereratkan dalam usaha melawan wabak COVID-19. BRI dijangka akan terus memainkan peranan yang penting bagi pemulihan ekonomi pasca wabak.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Pusat Pengajian Dasar Asia Baharu Malaysia, Ong Tee Keat ketika diwawancara wartawan Agensi Berita Xinhua baru-baru ini.

Laporan tahunan 2021 yang bertajuk “Prospek Ekonomi dan Proses Integrasi Asia” yang diumumkan dalam Forum Boao untuk Asia (BFA) mendedahkan bahawa pembinaan BRI telah memperlihatkan kedinamikan yang kuat di sebalik penularan wabak COVID-19. Projek-projek berkenaan terus dipergiat, manakala perdagangan dan pelaburan pula kian meningkat.

Ong Tee Keat berkata, setelah tercetusnya pandemik COVID-19, China telah menghantar kumpulan pakar perubatan dan membekalkan vaksin kepada sejumlah negara yang dilihat sebagai sumbangan kepada persahabatan dengan negara terlibat BRI. Menurut beliau, China telah mengotakan janjinya menjadikan vaksin COVID-19 sebagai produk awam global.

Beliau turut menyatakan China sebagai satu-satunya entiti ekonomi utama yang merealisasikan pertumbuhan positif pada 2020, telah memainkan peranan peneraju dalam pemulihan ekonomi global pasca wabak. Di samping itu, “rancangan lima tahun ke-14” pula dijangka akan menawarkan pasaran raksasa kepada negara terlibat BRI.

Selain itu, beliau menegaskan kerjasama BRI digital perlu terus diusahakan, memandangkan peranan penting dimainkan ekonomi digital dalam pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

Ong Tee Keat pula menyatakan negara-negara membangun yang terlibat dalam BRI menghadapi cabaran dalam usaha mengimbangkan pembangunan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar. Sehubungan itu, beliau berpendapat bahawa BRI boleh dijadikan wahana untuk menjalankan kerjasama menghadapi perubahan iklim.

张宪