“Pelancongan+Kereta Api” Dorong Perkembangan Pelancongan di Tibet

2021-06-22 10:01:27  CRI
Share with:

Lebih 350 pelancong meneruskan perjalanan mengujakan di Lhasa, ibu kota Wilayah Autonomi Tibet China setelah menaiki kereta api persiaran selama 37 jam dari bandar Xi'an di provinsi Shaanxi.

Kereta api persiaran yang dinamakan sempena laluan perdagangan kuno Tangzhu pada zaman Dinasti Tang (618-907) tiba di Lhasa pada Ahad pagi.

Ketika diwawancara, para penumpang menzahirkan rasa kagum terhadap pemandangan di sepanjang perjalanan.

Ia termasuk pemandangan luas di Kawasan Perlindungan Alam Kebangsaan Hoh Xil, kemegahan Gunung Tanggula dan Padang Rumput Qiangtang yang menawan hati.

Salah seorang daripadanya, Chen Weijie berkata, perjalanan tersebut telah diimpikannya sejak sekian lama dan kewujudan laluan pelancongan kereta api khas Xi'an-Lhasa itu membolehkannya menikmati pemandangan sepanjang perjalanan.

Tambahan lagi katanya, kereta api tersebut dilengkapi dengan perkhidmatan dan kemudahan yang cukup baik.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pembangunan Pelancongan Wilayah Autonomi Tibet, Wang Songping berkata laluan perjalanan kereta api yang dinamakan sempena laluan perdagangan kuno Tangzhu bukan sekadar didukung dengan catatan sejarah, ia juga memperlihatkan perubahan radikal dalam kaedah pengangkutan.

Jelas Wang, pembinaan  laluan persiaran itu menampilkan laluan perdagangan kuno dan kemajuan pengangkutan bertujuan untuk menyokong pelaksanaan inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, kaedah "pelancongan+kereta api" itu turut dijangka mendorong pembangunan yang berkualiti tinggi dalam sektor pelancongan di wilayah tersebut.

徐国玮