Cari:
Pemimpin Tertinggi China Pertama Kali Hadiri Majlis Peringatan Peristiwa 7 Julai
2014-07-08 12:20:19 CRI Cetak

Pagi semalam, Presiden China Xi Jinping bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan melawat Balai Peringatan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun di Kota Wanping, Beijing untuk menghadiri majlis peringatan ulang tahun ke-77 tercetusnya perang tersebut. Ini merupakan kali pertama pemimpin tertinggi China menghadiri majlis peringatan rasmi bagi ulang tahun Peristiwa 7 Julai.

"Hari ini, kami memperingati ulang tahun ke-77 tercetusnya perang antipencerobohan Jepun di negara ini. Tujuannya adalah untuk mengenang kembali sejarah dan pahlawan yang terkorban, menghargai kedamaian dan mengambil iktibar untuk masa depan. China akan terus mengekalkan jalan pembangunan damai serta memelihara kedamaian dunia. Sejarah merupakan buku teks dan juga ubat yang paling baik untuk mengekalkan kesedaran yang jelas. China berharap bersama-sama pelbagai negara lain di dunia untuk mewujudkan pembangunan damai supaya sinar kedamaian terus menyuluh hidup manusia di seluruh dunia."

Presiden Xi Jinping bersama-sama pegawai-pegawai lain, veteran-veteran yang pernah terlibat dalam perang tersebut serta kira-kira 1,000 orang wakil dari pelbagai lapisan masyarakat telah menghadiri majlis peringatan semalam. Presiden Xi juga telah merasmikan patung ukiran "Medal Kemerdekaan dan Kebebasan" bersama-sama dua orang veteran perang antipencerobohan Jepun yang masing-masing dari pasukan Parti Komunis China dan Parti Kuomintang China, serta dua orang wakil kanak-kanak. Presiden Xi berkata,

"Kami merasmikan patung ukiran "Medal Kemerdekaan dan Kebebasan" di sini untuk memperingati para pahlawan yang terkorban dalam perjuangan untuk kemerdekaan dan kebebasan negara serta semua orang yang memberi sumbangan penting kepada usaha mewujudkan kedamaian dan keadilan, dan semua saudara mara yang terkorban dalam perang antipencerobohan Jepun. Mereka akan sentiasa diingati."

Sebagai tapak tercetusnya Peristiwa 7 Julai, Jambatan Marco Polo di Beijing yang mana dibina Balai Peringatan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun, telah menyaksikan aktiviti peringatan diadakan setiap tahun. Bagaimanapun, aktiviti peringatan pada tahun ini kelihatan skalanya lebih besar daripada biasa, malahan menyaksikan kehadirian pemimpin tertinggi China buat kali pertamanya. Pihak media berpendapat, ini tidak terlepas dari situasi serantau yang rumit lagi sensitif pada masa ini. Dalam ucapannya, Presiden Xi pula menyatakan bahawa,

"Yang amat dikesali ialah, menjelang ulang tahun ke-70 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti Fasis Sedunia, tetap terdapat segelintir orang yang memutarbelitkan sejarah, menafikan bahkan mencantikkan pencerobohan dan menegangkan situasi serantau. Ini telah dikecam keras oleh rakyat sedunia yang mencintai kedamaian, termasuk rakyat China. Sejarah dan fakta tidak mungkin diubah oleh sesiapa pun. Rakyat China yang pernah membuat pengorbanan besar, akan teguh memelihara sejarah yang ditulis dengan darah dan nyawa sendiri. Percubaan sesiapa pun untuk menafikan, memutarbelitkan bahkan mencantikkan sejarah pencerobohan tidak akan diterima oleh rakyat China dan seluruh dunia!"

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China