Organisasi bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang beribu pejabat di Paris mengumumkan semalam, China telah menjadi anggota pusat pembangunan organisasi tersebut.
Setiausaha Agung OECD, José Ángel Gurría Treviño mengalu-alukan keanggotaan China dalam pusat tersebut. Menurut beliau, China kaya dengan pengalaman membangunkan negara. Langkah tersebut menyediakan peluang pembaharuan yang saling menguntungkan dan memudahkan perkongsian maklumat.
Pegawai kanan dari Dewan Negara China yang menandatangani perjanjian berkenaan, Li Wei berkata, pusat tersebut menyediakan penyelidikan dan dialog yang penting tentang isu pembangunan sejagat. Pihaknya bersedia untuk berkongsi pengalaman dalam bidang pembangunan negara dengan anggota-anggota yang lain.