Tuan-tuan dan puan-puan, Kawan-kawan yang saya hotmati,
China dan Indonesia berhadapan di seberang-menyeberang laut. Persahabatan antara China dengan Indonesia telah bersejarah lama, bagaikan muzik-muzik merdu yang digubah bersama-sama oleh rakyat kedua-dua negara sejak sekian lama. Seperti yang digambarkan dalam seni kata lagu Indonesia "Pengawan Solo" yang amat popular di China, "Mata airmu dari Solo bergunung-gunung seribu, air mengalir sampai jauh, akhirnya ke laut."
Hubungan China-Indonesia telah menempuhi perjalanan yang luar biasa, seperti Sungai Solo yang melintasi gunung-ganang, akhir masuk ke laut. Pada zaman Dinasti Han China, iaitu lebih 2,000 tahun yang lalu, rakyat China dan Indonesia telah mula menjalinkan hubungan persahabatan walaupun laut memisahkan kedua-dua negara ini.
Pada awal abad ke-15, Laksamana Cheng Ho tujuh kali belayar ke Asia Tenggara dan Afrika, dan setiap kali singgah di kepulauan Indonesia. Beliau menjejakkan kaki di Jawa, Sumatera dan Kalimantan, dan meninggalkan banyak cerita indah tentang persahabatan dan pertukaran rakyat kedua-dua negara, yang masih disebut-sebut pada masa ini.
Sejak ratusan tahun lalu, laut yang luas ini tidak menjadi halangan bagi pertukaran lawatan, sebaliknya menjadi ikatan bagi persahabatan rakyat kedua-dua negara. Kapal-kapal yang membawa barang-barang dagangan dan penumpang-penumpang belayar antara kedua-dua negara melalui laut ini.
Novel klasik China "Mimpi di dalam Bilik Merah" telah menceritakan barang-barang yang berharga dari Jawa. Manakala, banyak porselin China pula dipamerkan di Muzium Negara Indonesia. Kesemuanya ini merupakan bukti-bukti persahabatan dan pertukaran rakyat kedua-dua negara, dan juga menggambarkan pepatah yang berbunyi, "jauh di mata, dekat di hati".
Pada abad yang lalu, rakyat kedua-dua negara sentiasa saling bersimpati dan saling menyokong dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan dan pembebasan bangsa. Indonesia antara negara yang paling awal menjalinkan hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China.
Pada tahun 1955, China dan Indonesia bekerjasama dengan negara-negara Asia dan Afrika yang lain, bersama-sama menganjurkan Semangat Bandung yang berteraskan hidup bersama secara damai, serta mencari persamaan dan menyisihkan perselisihan dalam Persidangan Bandung. Semangat Bandung ini tetap merupakan pegangan utama bagi pengurusan hubungan luar sesebuah negara, di samping memberikan sumbangan besar untuk mewujudkan hubungan antarabangsa yang baharu.
China dan Indonesia telah memulihkan hubungan diplomatik pada tahun 1990, dan menjalinkan hubungan rakan strategik pada tahun 2005. Sejak itulah, hubungan kedua-dua negara telah memasuki satu era perkembangan yang baharu.