Zhu Yuanzhang, Maharaja yang Berasal daripada Rakyat Jelata pada Zaman Silam China

2018-03-29 10:15:48  CRI
Share with:

Zhu Yuanzhang, Maharaja yang Berasal daripada Rakyat Jelata pada Zaman Silam China

 

Pada zaman feudal di China, maharaja biasanya dilantik daripada kalangan putera raja. Manakala Zhu Yuanzhang merupakan seorang maharaja yang berasal daripada rakyat jelata yang miskin. Keadaan ini jarang terdapat dalam sejarah China.

 

Zhu Yuanzhang dilahirkan pada tahun 1328 Masihi di Fengyang, Anhui di selatan China. Keluarganya miskin dan ibu bapanya telah meninggal dunia semasa beliau masih kecil. Zhu Yuanzhang terpaksa menghentikan pelajarannya disebabkan tidak mampu lagi membayar yuran pelajaran kepada guru dan hanya mengikuti pelajaran selama 3 bulan sahaja. Zhu Yuanzhang menjadi koboi untuk mencari rezekinya. Pada tahun 1344, bencana belalang yang hebat telah berlaku di kampung halaman Zhu Yuanzhang, tanam-tananam telah habis dimakan oleh belalang dan ramai orang mati kelaparan. Zhu Yuanzhang yang berusia 16 tahun terpaksa menjadi sami dan mengemis selama beberapa tahun. Pengembaraan dan kesengsaraan bukan sahaja telah meluaskan pandangan beliau, tetapi juga telah mengakibatkan wujudnya sifat yang tabah dalam diri beliau.

 

Pada masa itu, pemerintah Etnik Mongol kerajaan Dinasti Yuan telah melaksanakan dasar yang menyenaraikan Etnik Han yang merupakan jumlah majoriti pendudukan China dan etnik-etnik lain sebagai penduduk kelas bawahan. Ini menyebabkan rakyat jelata tidak berpuas hati terhadap pemerintah dan pemberontakan petani sentiasa berlaku di China. Semasa berusia 24 tahun, Zhu Yuanzhang telah menyertai salah sebuah pasukan tentera pemberontak petani. Disebabkan Zhu Yuanzhang sangat gagah berani dalam peperangan dan juga sangat berbakat, beliau beransur-ansur menjadi terkenal dalam tentera pemberontak petani dan pangkatnya dalam tentera pemberontak petani itu juga turut meningkat dari semasa ke semasa. Berdasarkan pengaruhnya yang semakin besar dan kekuatannya yang semakin terserlah, Zhu Yuanzhang telah menubuhkan tentera pemberontaknya sendiri dan beliau dilantik sebagai panglima tentera itu.

 

Oleh sebab Zhu Yuanzhang gemar bersahabat terhadap orang lain, maka semakin ramai orang yang berbakat telah menjadi sahabat handai beliau dan menyertai pasukan tenteranya. Semasa Zhu Yuanzhang berusia 39 tahun, kekuatannya telah menguasai lebih separuh China. Pada tahun 1368 Masihi, Zhu Yuanzhang telah mengisytiharkan penubuhan kerajaan Dinasti Ming di Jinling iaitu Bandar Nanjing pada masa sekarang dan dilantik sebagai maharaja Dinasti Ming. Selepas itu, Zhu Yuanzhang telah mempercepat langkah bagi menyatukan China. Pada tahun itu, tentera pimpinannya telah menawan Dadu, ibu negara Dinasti Yuan iaitu Bandar Beijing pada masa sekarang. Ini bermakna penguasaan kerajaan Dinasti Yuan telah ditamatkan.

 

Maharaja Zhu Yuanzhang yang berasal daripada orang awam telah melaksanakan pembaharuan sistem politik negara. Baginda telah memansuhkan jawatan perdana menteri yang telah dilaksanakan selama beberapa ratus tahun di China dan memusatkan semua kuasa pada dirinya sendiri. Tindakan ini tak syak lagi bermanfaat bagi meningkatkan keefisienan pemerintahan negara pada peringkat awal kerajaan baru ditubuhkan.

 

Zhu Yuanzhang, Maharaja yang Berasal daripada Rakyat Jelata pada Zaman Silam China

 

Zhu Yuanzhang berasal daripada kelas bawahan masyarakat, baginda mengetahui kepahitan kehidupan dan kesengsaraan yang dialami oleh rakyat jelata. Disebabkan itulah, selepas memerintah, baginda hidup secara sederhana. Baginda menganjurkan penjimatan. Baginda sendiri bukan sahaja berjimat, tetapi juga bertitah agar semua orang baik pegawai ataupun orang awam mesti berjimat juga.

 

Berdasarkan catatan sejarah, terdapat seorang pegawai tempatan yang hendak mengampu Maharaja Zhu Yuanzhang telah menyembahkan sebuah katil yang dibuat dengan ukiran emas kepada baginda. Maharaja Zhu Yuanzhang sangat murka dan menitahkan pegawai tempatan itu dijatuhi hukuman serta telah merosakkan katil tersebut. Pada suatu hari, baginda melihat seorang pengawal berjalan dalam hujan dengan memakai sepasang but yang baru, baginda telah memarahi pengawal itu. Seorang pegawai kanan juga telah memakai sehelai pakaian baru yang amat mahal harganya. Selepas Maharaja Zhu Yuanzhang mengetahui bahawa harga pakaian itu adalah sama dengan jumlah perbelanjaan kehidupan seseorang petani untuk setahun, baginda turut menjatuhkan hukuman terhadap pegawai kanan itu.

 

Maharaja Zhu Yuanzhang telah melaksanakan dasar ekonomi pertanian yang bersesuaian dengan pengeluaran pertanian dan kehidupan kaum petani. Dengan berbuat demikian, negara China dibangunkan dalam suasana yang aman dan stabil.

系统管理员