Tarikan Utama Bandar Guangzhou

2017-05-16 16:45:57  CRI
Share with:

Guangzhou merupakan bandar yang ketiga terbesar di China selepas Beijing dan Shanghai. Bandar tersebut juga dikenali sebagai Canton dan merupakan ibu kota provinsi Guangdong yang terletak di selatan China. Kedudukan Guangzhou menghadap Laut China Selatan di sebelah selatan dan membelakangi Delta Sungai Mutiara di sebelah utara serta terletak berhampiran dengan Shenzhen, Hong Kong dan Macau.

Selain dikenali sebagai "bandar kambing", Guangzhou juga digelar "bandar bunga" kerana bandar ini begitu kaya dengan taman yang menghijau dan bunga-bungaan yang berwarna-warni yang dihias cantik, sama ada di taman atau di sepanjang lebuh raya.

Guangzhou memiliki beberapa destinasi menarik yang wajib dikunjungi antaranya termasuklah menikmati pemandangan malam di sepanjang Sungai Mutiara, beriadah di Taman Yue Xiu, Menara Guangzhou, membeli-belah di Jalan Beijing dan Jalan Shangxiajiu.

Tempat-tempat menarik di Guangzhou:

1. Sungai Mutiara

Tarikan Utama Bandar Guangzhou

Sungai Mutiara kelihatan sangat anggun pada waktu malam. Rugi jika anda melepaskan peluang menyusuri sungai ini. Sungai Mutiara adalah sungai yang ketiga terpanjang di China. Anda akan dibawa menyusuri sungai mutiara ini selama kira-kira satu jam. Pada waktu malam, kilauan lampu yang menerangi bangunan-bangunan pencakar langit dapat dilihat di sepanjang sungai ini termasuklah Menara Guangzhou. Jambatan-jambatan juga diterangi oleh lampu yang boleh bertukar-tukar warna. Kapal-kapal yang lalu-lalang membawa penumpang juga dihiasi dengan lampu-lampu tersebut.

2. Taman Yue Xiu

Tarikan Utama Bandar Guangzhou

Taman Yue Xiu yang luasnya 868 meter persegi merupakan sebuah taman yang paling besar di Guangzhou. Taman ini terdiri daripada tiga buah tasik dan tujuh bukit. Di taman ini terletaknya Patung Lima Kambing yang menjadi lambang kota Guangzhou.

Sebelum sampai di Patung Lima Kambing ini, anda perlu menaiki lebih seratus anak tangga. Selain menjadi destinasi tumpuan pelancong, taman ini juga menjadi kegemaran penduduk Guangzhou untuk beriadah. Tidak kira pada waktu pagi atau petang, taman ini sangat popular dalam kalangan remaja untuk berlibur, manakala warga emas pula menjadikan taman ini sebagai lokasi untuk bersenam.

3. Jalan Beijing

Tarikan Utama Bandar Guangzhou

Jalan Beijing merupakan sebuah jalan yang kedua-dua bahagian sisi jalannya terdapat kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis barang. Pakaian wanita, beg tangan, kasut dan aksesori semuanya ada dijual di sini. Jalan ini dibuka khas untuk pejalan-pejalan kaki sahaja. Pada waktu malam, jalan ini kelihatan lebih meriah dengan lampu yang berwarna-warni.

4. Jalan Shangxiajiu

Tarikan Utama Bandar Guangzhou

Tarikan Utama Bandar Guangzhou

Jalan Shangxiajiu juga amat popular di Guangzhou. Lebih 1,000 buah kedai dibuka di sini. Sama seperti di Jalan Beijing, pelbagai pakaian wanita dan lelaki, beg, kasut, dan lain-lain dijual dengan harga yang lebih murah. Jalan ini lebih panjang daripada Jalan Beijing.

5. Masjid Huaisheng

Tarikan Utama Bandar Guangzhou

Masjid Huaisheng dibina pada awal zaman Dinasti Tang. Masjid yang dikenali sebagai Masjid Rumah Api ini adalah antara 4 buah masjid yang paling awal dibina di China selepas agama Islam tersebar di negara ini. Masjid yang berkeluasan kira-kira 3,200 meter persegi ini memiliki seni bina masjid yang menggabungkan unsur klasik China dan ciri-ciri Arab.

admin