Opera Sichuan dan Penukaran Maska

2018-02-07 18:53:23  CRI
Share with:

Opera Sichuan, dengan nyanyian yang menarik, seni kata yang lucu, dan pergerakan yang cantik, mempunyai sejarah beratus-ratus tahun dan amat diminati oleh orang tempatan.

 

Encik Lan Jiafu ialah seorang artis Opera Sichuan. Beliau telah menceburkan diri dalam opera ini sejak lebih 30 tahun yang lalu. Menurutnya, Opera Kunqu, sejenis opera yang terkenal di China, yang disebarkan ke Sichuan dari tempat lain telah berintegrasi dengan Opera Lampu tempatan, dan lama-kelamaan menjadi Opera Sichuan. Inilah asal usul opera ini. Kata beliau:

 

"Opera Sichuan dikenali sebagai salah satu opera utama di negeri China. Opera ini diminati ramai. Antara cara berlakonnya yang menarik, termasuklah penukaran maska, menyembunyikan pedang, menjunjung mangkok, dan bermain lilin."

Opera Sichuan dan Penukaran Maska

 

Antara semua cara berlakon Opera Sichuan ini, penukaran maska merupakan bahagian yang paling unik, malah ia telah menjadi lambang opera ini. Pelakon opera ini boleh menukar maskanya dengan pergerakan yang sangat cepat, yakni dalam masa sekelip mata sahaja, seperti ketika dia menutup muka dengan lengan atau ketika kepalanya bergoncang. Cara berlakon ini amat mengagumkan.

 

Hampir semua penonton yang menyaksikan opera ini ingin tahu cara melakukan penukaran maska yang begitu pantas itu. Walau bagaimanapun, pelakon Opera Sichuan dilarang memberitahu orang lain tentang tekniknya.

 

Encik Chen Jiaxin, seorang pelakon muda Opera Sichuan menyatakan bahawa penukaran maska ialah "top secret" atau rahsia utama opera ini. Kata beliau:

 

"Penukaran maska ialah rahsia utama opera ini. Terdapat tiga cara melakonkannya di atas pentas, tetapi semuanya adalah rahsia yang tidak boleh diberitahu kepada orang lain. Pelakon yang paling hebat boleh menukar maskanya tiga kali dalam satu saat sahaja."

 

Untuk mencungkil rahsia opera ini, kami telah mewawancara pakar kesenian rakyat, profesor Mao Jianhua dari Universiti Sichuan. Menurut beliau, tiga cara untuk menukar maska ini adalah dengan menggosok muka, meniup muka dan menarik muka.

Opera Sichuan dan Penukaran Maska

 

Menggosok muka bermaksud menyapu pewarna pada bahagian tertentu di muka. Apabila bahagian tersebut digosok dengan tangan, warna yang disapu akan menukar warna muka menjadi warna yang lain. Meniup muka pula bermaksud meletakkan tepung pewarna seperti tepung berwarna emas, tepung hitam dan lain-lain di suatu tempat di atas pentas, dan apabila pelakon melakukan gerakan hampir dengan kotak tepung itu, dia akan meniup tepung itu. Warna mukanya akan bertukar mengikut warna tepung yang dituipnya itu. Sekarang, cara melakukan penukaran maska yang paling banyak digunakan di atas pentas ialah menarik muka. Prof. Mao berkata:

 

"Cara menukar maska yang paling banyak digunakan di pentas sekarang ini adalah dengan menarik maska. Kita melukis maska yang berbeza-beza di atas sutera yang amat nipis. Maska ini dilapiskan satu persatu. Setiap lapisan maska ini diikat dengan benang. Apabila pelakon menarik benang ini dalam persembahannya, maska tersebut akan jatuh satu demi satu. Cara ini amat sukar dan memerlukan latihan yang lama."

 

Walau bagaimanapun, teknik ini masih meninggalkan banyak persoalan, antaranya bagaimana berbelas-belas lapisan maska itu ditarik? Maska-maska itu disembunyikan di mana? Dan bagaimana maska itu dibuat?

 

Inilah rahsia yang hanya diketahui oleh pelakon Opera Sichuan dan mereka dilarang mendedahkan rahsia tersebut kepada orang lain. Encik Lan Jiafu, artis Opera Sichuan berkata:

 

"Penukaran maska ialah satu teknik. Setiap sektor mempunyai rahsianya sendiri. Seperti silap mata, kalau penonton mengetahui rahsianya, ia tidak menarik lagi."

 

Satu lagi lakonan yang juga memberangsangkan dalam Opera Sichuan ialah meluahkan api. Pelakon boleh meluahkan api dari mulut mereka. Kononnya pelakon yang berkenaan menyimpan kerosin dalam mulutnya dan menyemburkannya ketika api diletakkan di hadapan mulut. Dengan itu, kelihatanlah seperti api itu keluar dari mulutnya. Mereka yang melakukan lakonan ini tidak boleh menyedut nafas sebelum semua kerosin disembur keluar dari mulutnya. Kalau tersilap langkah, pelakon itu akan membakarkan dirinya sendiri.

 

Opera Sichuan dan Penukaran Maska

 

Pelakon Opera Sichuan, Li Ke yang sangat cekap melakukan gerakan meluahkan api ini menyatakan bahawa lakonan meluahkan api dan menukar maska sering dipersembahkan bersama-sama untuk menghiburkan penonton.

 

Selain itu, terdapat juga lakonan menyembunyikan pedang dan mengeluarkan bunga dipentaskan dalam Opera Sichuan. Mengeluarkan bunga hampir sama dengan silap mata. Dalam lakonan menyembunyikan pedang pula, pelakon boleh menjadikan pedang yang besar hilang di hadapan mata penonton. Sebenarnya, pedang itu disembunyikan di bawah pakaian pelakonnya.

 

Di bandar Chengdu, penduduk tempatan boleh menyaksikan persembahan Opera Sichuan setiap hari. Opera ini telah menjadi komponen penting dalam kehidupan seharian mereka.

王瑾