Guntingan kertas merupakan salah satu seni tradisional yang paling popular di China. Hingga sekarang, sudah tiada orang mengetahui sejarah asal usulnya. Ada orang berpendapat bahawa guntingan kertas pada mula-mulanya digunakan untuk upacara keagamaan dan pemujaan pada zaman purba. Orang zaman dahulu biasanya menggunting kertas untuk dijadikan bentuk haiwan dan manusia. Guntingan kertas itu kemudiannya akan dikebumikan bersama-sama mayat atau dibakar semasa upacara pengebumian sebagai pendamping orang mati.
Tetapi pada 1,000 tahun yang lalu, guntingan kertas lebih banyak digunakan dalam bidang penghiasan. Menurut catatan sejarah, wanita pada zaman Dinasti Tang iaitu pada abad ke-7 hingga ke-8 Masihi pernah menggunakan guntingan kertas sebagai hiasan kepala. Orang pada zaman itu juga mempunyai kebiasaan membuat rama-rama daripada guntingan kertas untuk menyambut kedatangan musim bunga. Pada zaman Dinasti Song iaitu pada abad ke-12 Masihi, guntingan kertas telah digunakan sebagai hiasan buah tangan dan rumah. Tukang yang membuat guntingan kertas telah muncul pada masa itu.
Guntingan kertas dibuat dengan tangan. Bagi tukang guntingan kertas, mereka memerlukan gunting dan pisau ukir dalam pelbagai ukuran untuk menghasilkan reka bentuk yang rumit. Kertasnya boleh sehelai saja, juga boleh beberapa helai. Semasa menggunting kertas, tukang harus memfokuskan perhatiannya, tidak boleh tersalah sedikit.
Terdapat pelbagai reka bentuk guntingan kertas, ada yang berbentuk haiwan, watak dalam cerita rakyat, citra dalam karya sastera klasik, topeng muka Opera Peking dan lain-lain. Guntingan kertas buatan pelbagai tempat di China adalah berbeza antara satu sama lain.
Pada masa lalu, selepas musim tuaian, wanita di kawasan desa sering berkumpul untuk membuat guntingan kertas bersama-sama. Kraf tangan ini merupakan kemahiran yang harus dikuasai oleh setiap gadis dan juga merupakan piawaian untuk menilai kepandaian pengantin wanita.
Zaman sudah berubah, orang ramai tidak lagi berminat kepada kemahiran membuat guntingan kertas, tetapi masih ada orang yang berminat kepada seni itu dan menjadikannya sebagai kerjaya. Sekarang, di China masih terdapat kilang guntingan kertas dan persatuan kesenian guntingan kertas peringkat negara. Mereka akan mengadakan pameran dan aktiviti pertukaran teknikal pada setiap tahun.