Kota Larangan Beijing : Pesona Di Sebalik Tembok Merah

2018-02-08 14:48:13  CRI
Share with:

 

图片默认标题_fororder_gugongbowuyuan

 

Kota Larangan Beijing atau lebih dikenali sebagai Forbidden City Beijing merupakan kompleks bangunan zaman purba yang paling besar dan dipelihara paling baik di dunia. Kota Larangan Beijing yang mempunyai nilai sejarah amat tinggi ini terkenal bukan sahaja di China, malah di seluruh dunia kerana saiznya yang besar, gaya binaannya yang indah, bangunannya yang tersergam megah dan mewah. Kota Larangan Beijing disenaraikan sebagai Warisan Budaya Dunia oleh UNESCO pada tahun 1988.

 

Kota Larangan Beijing yang terletak di pusat bandar raya Beijing ini dibina atas titah perintah Maharaja Zhu Di, maharaja zaman Dinasti Ming pada tahun 1406. Pembinaan kota ini mengambil masa 14 tahun. Dua puluh empat orang maharaja zaman Dinasti  Ming dan Qing pernah bersemayam dan menguruskan hal ehwal pentadbiran negara di sana selama kira-kira 500 tahun, sehinggalah Dinasti Qing digulingkan pada tahun 1911.

 

Kota Larangan Beijing terletak dalam kawasan seluas lebih 720 ribu meter persegi dan dikelilingi oleh tembok yang tingginya 10 meter dan parit perlindungan selebar lebih 50 meter. Reka bentuk bangunan, saiz, susunan, bentuk, hiasan dan kemudahan yang terdapat di Kota Larangan Beijing dibina menurut sistem kesusilaan, etika dan hierarki pangkat dinasti feudal yang ketat dan menggambarkan kuasa maharaja adalah yang maha tinggi.

 

Para pengunjung mesti melawat tiga dewan utama yang besar di Kota Larangan ini, iaitu Dewan Taihe, Dewan Zhonghe dan Dewan Baohe yang merupakan bangunan yang paling menarik. Kesemua dewan besar ini merupakan tempat maharaja menjalankan urusan pentadbiran dan mengadakan upacara-upacara yang penting. Ketiga-tiga dewan besar ini terletak tepat di garis tengah dari utara ke selatan bandar Beijing. Dewan Taihe yang tingginya kira-kira 40 meter merupakan bangunan yang paling besar dan tinggi di Kota Larangan Beijing ini. Dalam dewan itu terdapat takhta persemayaman maharaja yang disadur dengan emas dan 13 ribu buah naga pahatan, iaitu lambang maharaja. Dataran di hadapan dewan ini luasnya 30 ribu meter persegi.

 

Terdapat 9999.5 buah dewan dan rumah di Kota Larangan Beijing. Menurut kepercayaan golongan maharaja pada zaman purba China, maharaja merupakan putera Maharaja di Langit yang menentukan segala sesuatu di dunia. Istana Diraja di Langit mempunyai 10 ribu buah dewan dan rumah. Istana diraja di dunia tidak boleh melampaui bilangan itu. Maka jumlah dewan dan rumah di Kota Larangan Beijing ditetapkan sebanyak 9999.5 buah. Ada perbandingan menarik tentang jumlah ini bagi menunjukkan betapa besarnya kompleks bangunan Kota Larangan ini. Seandainya seorang bayi yang baru dilahirkan tidur semalam sahaja di setiap dewan atau rumah di Kota Larangan Beijing ini, dia akan berusia 27 tahun, apabila berjaya tidur di semua dewan dan rumah ini.

 

图片默认标题_fororder_Img334807378

Pembinaan Kota Larangan Beijing mengumpulkan kepandaian dan kebijakan rakyat China. Susunan seluruh kompleks bangunan, pelbagai bentuk atap, hiasan pada pintu dan dinding memperlihatkan reka bentuk yang bijak dan luar biasa. Penggunaan batu putih berkualiti (汉白玉) untuk membina lantai Dewan Taihe yang setinggi 8 meter, bukan sahaja membuatkan dewan itu kelihatan lebih megah, tetapi juga untuk menghalang lembapan tanah. Terdapat banyak kepala naga pahatan daripada batu putih berkualiti yang cantik, yang dibahagikan dengan rapi pada dinding tiga lapis dasar Dewan Taihe. Kepala naga tersebut bukanlah hiasan semata-mata, tetapi juga untuk memudahkan penyaluran air. Apabila hujan lebat, lebih 1000 buah kepala naga tersebut akan menyalurkan air keluar, sekali gus mewujudkan pemandangan yang sangat mengagumkan. Dalam Kota Larangan ini terdapat empat baris bangunan, yang jika dipandang dari luar memang benar-benar seperti rumah, tetapi di dalamnya penuh dengan ketulan batu sahaja. Bangunan ini adalah kemudahan yang direka oleh arkitek pada masa itu untuk menghalang kebakaran. Di belakang Dewan Baohe pula, terdapat sebuah batu besar berbentuk segi empat panjang yang beratnya 300 tan dan diletakkan condong di tengah-tengah tangga. Di permukaan batu berukuran lebih 50 meter persegi ini diukir gunung, air laut, awan dan sembilan ekor naga. Batu yang besar ini telah diambil dari suatu tempat yang jauhnya kira-kira 100 kilometer dari bandar Beijing. Untuk mengangkut batu ini, para pekerja telah menggali beberapa buah perigi yang jaraknya berselang beberapa puluh meter antara satu sama lain, di sepanjang jalan dari tempat asal batu itu sampai ke tempat pembinaan Kota Larangan Beijing. Kerja ini dilakukan pada musim sejuk. Air dari perigi-perigi tersebut yang dicurahkan di atas jalan akan membeku menjadi ais. Sebanyak 10 ribu orang pekerja dan lebih seribu ekor kuda menghela batu tersebut di atas jalan berais itu selama sebulan, sebelum sampai ke Kota Larangan Beijing.

 

 

(Kapsyen  Gambar)

Kota Larangan Beijing atau dikenali sebagai Forbidden City Beijing yang terletak di pusat bandar Beijing merupakan istana persemayaman 24 orang maharaja China zaman Dinasti Qing dan Ming.

 

Waktu  Melancong  yang Paling sesuai:

Beijing mengalami iklim lembap yang dipengaruhi oleh monsun empat musim yang berbeza. Musim sejuknya berangin dan kering, kerana pengaruh antisiklon Siberia yang terbentang luas, manakala  musim panasnya umumnya panas dan lembap, disebabkan oleh monsun Asia Timur. Suhu udara purata pada bulan Januari sekitar -4°C, manakala suhu udara purata pada bulan Julai adalah sekitar 26°C. Waktu melancong ke Beijing yang paling baik adalah hujung bulan April hingga awal bulan Jun, dan hujung bulan Ogos hingga hujung bulan November. Sejak 2 Julai 2011, Kota Larangan Beijing melaksanakan sistem laluan lawatan  “sehala”, iaitu pelancong hanya boleh masuk dari Pintu Wu di sebelah selatan dan keluar dari pintu Shenwu di sebelah utara.

 

Tiket Masuk:

Harga tiket berbeza pada musim puncak dan luar musim puncak.

Musim puncak (1 April – 31 Oktober): RMB60 seorang (tidak termasuk lawatan ke Balai Barang-Barang Berharga dan Balai Jam).

Luar musim puncak (1 November – 31 Mac): RMB40 seorang (tidak termasuk lawatan ke Balai Barang-Barang Berharga dan Balai Jam).

Balai Barang-Barang Berharga: RMB10 seorang.

Balai Jam: RMB10 seorang.

 

Laluan lawatan yang ideal:

Pengunjung masuk melalui Pintu Wu. Sepanjang laluan itu, pengunjung boleh melawat Jambatan Neijinshui, Pintu Taihe, Dewan Taihe, Dewan Zhonghe, Dewan Baohe, Pintu Qianqing, Istana Qianqing, Dewan Jiaotai, Istana Kunning, dan Taman Diraja. Selepas melawat Taman Diraja, pengunjung boleh melawat enam istana barat (Istana Chuxiu, Istana Lingkun, Istana Yongshou, Istana Xianfu, Istana Changchun, Istana Taiji) dari pintu kiri Taman Diraja dan keluar ke Lapangan Pintu Qianqing. Selain itu, pengunjung juga boleh melawat enam istana timur (Istana Yanxi, Istana Yonghe, Istana Jingyang, Istana Chengqian, Istana Zhongcui, dan Istana Jingyang). Pelancong keluar hanya melalui Pintu Shenwu.

王瑾