Menjejaki Feng Shui di Wuyuan

2018-02-08 14:51:28  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_u=31819649,1387173782&fm=27&gp=0

 

Senja sudah berlabuh ketika saya tiba di kampung Likeng. Saya melihat ada sebatang pokok kapur barus besar yang daunnya hijau dan subur. Batang pokoknya ditempel dengan tangkal yang telah dibacakan doa untuk keselamatan dan sebilah pisau kecil yang dibalut benang sutera merah untuk menghalau hantu. Pokok besar ini bagaikan pelindung kampung tersebut.

 

Saya tinggal di inap desa milik Pak Yu. Awal pagi lagi saya terjaga dari tidur apabila terdengar bunyi rintik hujan yang menimpa kaca tingkap. Saya cepat-cepat turun ke bawah dan mendapati Pak Yu sekeluarga sudah bersiap untuk upacara memuja nenek moyang mereka. Anak sulungnya menjinjing beberapa ikat mercun; anak bongsunya mengangkat sebuah meja kuno yang panjang tempat menghidangkan makanan; dan Pak Yu sendiri membawa dupa dan lilin. Saya bersama-sama mereka berjalan di atas jalan batu yang berliku-liku itu hingga ke tempat pemujaan. Hari masih gelap, cahaya lampu yang berwarna jingga di kedua-dua belah jalan memberikan sedikit kehangatan pada waktu subuh ini.

 

Selepas berjalan kira-kira 10 meter, terdapat sebuah jambatan batu yang menuju ke sebuah bangunan kuno. Inilah rumah kuno milik keluarga Pak Yu. Rumah ini besar dan luas dengan atapnya yang berwarna hitam dan dindingnya yang putih. Ketika pintu itu dibuka, saya rasa seperti kembali ke zaman purbakala. Mata saya terpaku menatap ukiran yang diperbuat daripada kayu-kayan yang sangat halus yang dianggarkan berusia ribuan tahun.

 

Di Wuyuan, ukiran kayu bukanlah hal yang luar biasa. Di mana-mana rumah penduduk pasti terdapat tingkap dan tiang-tiang berukir. Pelbagai jenis ukiran dapat ditemukan di sini: pintu besar yang diukir dengan huruf-huruf Cina, atau ukiran bunga-bungaan dan burung yang tampak hidup di permukaan perabot. Siapa pun pasti akan mengagumi keunikan seni itu.

 

图片默认标题_fororder_u=3305986852,2638383942&fm=27&gp=0

 

Pak Yu menyalakan dupa dan lilin yang diletakkan di atas meja kuno yang panjang. Anaknya membakar mercun di luar. Keluarga ini mula menjalankan upacara memuja nenek moyang mereka.

 

Selepas upacara itu, kami bersama-sama balik untuk bersarapan. Qingmingguo (sejenis makanan yang rupanya macam ladu atau ‘dumpling’) menjadi makanan kegemaran saya. Kulitnya berwarna hijau, rasanya yang enak dan lembut serta berbau wangi herba menyegarkan.

 

Hari yang gelap sudah terang. Hujan gerimis menyapa jalan batu di kampung ini dan kabus nipis kelihatan menyelubungi puncak bukit.

 

Pemandangan indah kampung ini dihiasi dengan pokok-pokok yang subur, anak sungai yang bening, jambatan batu yang melewati anak sungai dan laluan sempit yang melalui deretan rumah yang bercirikan seni bina Huizhou.

 

Pak Yu memberitahu saya, sebenarnya feng shui telah memberi banyak pengaruh kepada orang tempatan. Amalan feng shui bukan sahaja digunakan dalam pemilihan tapak bangunan, tetapi juga memberi kesan terhadap tingkah laku mereka setiap hari.

 

Menurut amalan feng shui, qi (tenaga) akan dibawa oleh angin, manakala air akan menampungnya. Orang kuno pandai mengumpulkan qi supaya ia tidak akan tersebar dan menjadi tenaga yang positif. Sejak zaman dahulu, penduduk Wuyuan mula memelihara gunung naga dan hutan di belakang kediaman kampung secara sukarela kerana mereka percaya gunung naga dan hutan ini mengumpulkan angin dan qi di “gua naga” (iaitu tapak kampung), menjadikan kampung ini stabil dan makmur. Perkara ini dikekalkan turun-temurun. Oleh itu, pemandangan ini menjadi salah satu faktor penting menyebabkan Wuyuan digelar kampung yang paling cantik di negara ini. 

王瑾