Kalendar "24 Musim" China: Permulaan Musim Panas

2018-03-07 14:35:01  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_1118803114_14623555564961n

 

Kalendar "24 Musim" China yang bersejarah lebih 2000 tahun merupakan hasil kajian rakyat China setelah menjalankan cerapan cakerawala dan membuat pemerhatian yang teliti dalam bidang meteorologi dan juga warisan budaya yang unik. Kalendar tersebut dapat menjangkakan perubuhan suhu udara, penurunan hujan serta cuaca dan telah menjadi alat yang sangat berguna bagi kaum tani kerana daripada kalendar itu, mereka boleh mengetahui masa yang paling sesuai untuk melakukan aktiviti pertanian seperti penanaman dan penuaian.

 

Kalendar "24 musim" merupakan satu sistem yang membahagikan masa setahun kepada 24 penggal yang panjangnya hampir sama dan perubahan iklimnya tidak besar. Hari pertama setiap penggal telah diberi nama seperti "permulaan musim bunga", "hujan" dan "serangga terjaga".

 

Hari "Permulaan Musim Panas" biasanya jatuh pada 5 hb, 6 hb atau 7 hb bulan Mei setiap tahun. Setelah tibanya musim panas, suhu udara akan meningkat dengan ketara dan ribut petir juga sering berlaku. Rakyat China mempunyai tradisi iaitu meramalkan hasil tuaian yang akan diperoleh pada sesuatu tahun dengan melihat cuaca pada hari "Permulaan Musim Panas".

 

Terdapat bidalan mengenai hari "Permulaan Musim Panas" mengatakan bahawa "jika hujan tidak turun pada hari itu, maka bencana kemarau yang teruk akan berlaku sehingga boleh menjejaskan tuaian hasil tanaman bagi tahun itu".

 

Sebenarnya, oleh sebab wilayah China begitu luas, jadi pengalaman tersebut tidak sesuai untuk digunakan di semua kawasan di China. Seperti di bahagian selatan China, musim panas akan bermula betul-betul pada hari "Permulaan Musim Panas". Tapi, pada ketika itu sedang musim untuk menuai biji sesawi. Jadi, jika hujan turun pada hari itu tentu akan menjejaskan hasil pengeluaran biji sesawi.

 

Manakala, di bahagian tengah dan utara China, meskipun hari "Permulaan Musim Panas" telah tiba, tapi kebanyakan kawasan di tengah dan utara China sedang berada dalam penghujung musim bunga. Pada masa sekitar hari itu, pelbagai unsur seperti suhu udara yang meninggi, angin kencang yang sering bertiup dan air di tanah yang mudah menyejat akan mengakibatkan bencana kemarau di kawasan tersebut. Keadaan ini akan menjejaskan pertumbuhan tanaman. Terutamanya jika angin panas yang kering bertiup semasa musim buah gandum mula terbit, ini juga akan menjejaskan dengan teruk hasil pengeluaran gandum bagi tahun itu. Oleh yang sedemikian, jika hujan turun pada hari "Permulaan Musim Panas", ini tentulah merupakan khabar yang baik bagi petani tempatan.

 

图片默认标题_fororder_lixia3

 

Terdapat juga bidalan mengenai hari "Permulaan Musim Panas" yang berbunyi, "jika sehari tidak merumput, jadi tiga hari pun tidak mencukupi untuk membuang rumpai yang tumbuh pada masa sehari itu". Daripada bidalan itu, kita bolehlah membayangkan betapa pesatnya rumpai yang tumbuh di ladang pada sekitar hari "Permulaan Musim Panas". Menurut pengalaman petani China, kerja merumput pada masa itu akan membantu meningkatkan suhu bumi, menjamin kesuburan tanah dan memastikan anak pokok kapas, pokok jagung, kacang tanah dan tanaman-tanaman lain bertumbuh dengan baik.

 

Dalam budaya tradisional China, hari "Permulaan Musim Panas" juga disambut sebagai "hari raya" di sesetengah tempat. Di sebahagian tempat di utara China, penduduk di sana masih mengekalkan adat resam iaitu memakan telur rebus pada hari itu. Sejak awal-awal pagi hari "Permulaan Musim Panas", orang tua dalam keluarga akan merebus beberapa biji telur dalam sebuah periuk, selepas itu, setiap anggota keluarga tersebut dikehendaki memakan sebiji telur rebus itu sehingga habis. Khabarnya, ada penduduk yang mengamalkan adat resam itu percaya bahawa setelah memakan telur rebus yang bentuknya seperti jantung manusia, kesihatan mereka akan terjamin bagi tahun itu. Ada juga yang percaya bahawa selepas memakan telur rebus yang permukaannya halus dan licin itu, kulit mereka juga akan menjadi sihat dan licin seperti telur rebus dalam musim panas tahun itu.

 

Penduduk di beberapa tempat di selatan China mempunyai kebiasaan makan "makanan segar" pada hari "Permulaan Musim Panas". Penduduk Suzhou suka memakan buah ceri, beri hijau dan membuat makanan dengan tepung gandum yang baru dituai. Manakala, pada hari "Permulaan Musim Panas", penduduk Wuxi juga mempunyai kebiasaan untuk memakan kacang buncis besar, timun dan buah aprikot.

 

Selain itu, penduduk provinsi Fujian dan Taiwan China juga mempunyai adat resam iaitu memakan udang pada hari "Permulaan Musim Panas". Ini kerana dalam dialek selatan provinsi Fujian, sebutan "udang" adalah mirip dengan sebutan "musim panas". Jadi, penduduk di sana percaya bahawa sesiapa yang memakan udang pada hari "Permulaan Musim Panas" akan berada dalam keadaan selamat pada sepanjang musim panas itu.

王瑾