Asal Usul Pesta Perahu Naga

2018-03-07 13:05:57  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_duanwujiezongzi

 

Pesta Perahu Naga yang juga dikenali sebagai Hari Ketupat atau Duan Wu Jie merupakan satu perayaan tradisional China yang diadakan pada tarikh 5 haribulan bulan lima menurut kalendar tradisional China setiap tahun. Terdapat beberapa legenda tentang asal usul Pesta Perahu Naga itu. Antaranya yang paling popular ialah kisah tentang Qu Yuan, seorang keturunan bangsawan pada Zaman Negeri-Negeri Berperang. 

 

Zaman Negeri-Negeri Berperang bermula pada tahun 403 sebelum Masihi dan berakhir pada tahun 221 sebelum Masihi selepas Negeri Qin berjaya menyatukan negara China.

 

Pada zaman itu, China dipecahbelahkan menjadi tujuh negeri yang saling berperang, termasuk Negeri Qin, Chu, Yan, Han, Zhao, Wei dan Qin. Antaranya Negeri Qin adalah yang paling kuat dan agresif, selalu melancarkan serangan terhadap enam negeri yang lain. Qu Yuan ialah seorang menteri kanan Negeri Chu yang mempunyai banyak keterampilan seperti menulis dan menetapkan strategi dan taktik peperangan. Ia sanggup menaruh segala jiwa raga untuk memajukan negerinya agar dapat menahan serangan Negeri Qin. Kecintaannya terhadap negeri tidak perlu diragui.

 

Memandangkan keamanan negerinya terancam oleh Negeri Qin, Qu Yuan menyarankan raja Negeri Chu iaitu Raja Chu Huai agar bersekutu dengan Negeri Qi bagi bersama-sama melawan Negeri Qin.Tetapi menteri-menteri lain yang iri hati dan ingin menyingkirkan Qu Yuan selalu mengadudombakannya di depan Raja Chu Huai yang menyebabkan Qu Yuan terus dibuang negeri.

 

Walaupun dibuang negeri, namun hatinya tetap tertambat dengan urusan dan masa depan negeri Chu. Ketika mengetahui raja Negeri Qin ingin berunding dengan Raja Chu Huai di ibu kota Negeri Qin, Qu Yuan segera kembali ke negerinya untuk menasihati Raja Chu supaya berhati-hati terhadap undangan raja Qin itu. Namun, pada waktu itu, Raja Chu Huai tidak mahu mempercayai segala kata Qu Yuan lagi. Sebaik sahaja tiba di ibu kota Negeri Qin, baginda terus ditangkap, lalu dipenjarakan di sana, sampai akhirnya mangkat di Negeri Qin. Terbayangkanlah bagaimana perasaan Qu Yuan ketika itu.

 

图片默认标题_fororder_duanwuzjiesailongzhou

 

Setelah Raja Chu Huai meninggal dunia, anak sulungnya iaitu Putera Qin Xiang naik takhta, sedangkan Putera Zi Lian menjadi bendahara. Qu Yuan sekali lagi menjadi korban komplotan penentangnya yang sering memfitnahnya di depan Raja Qin Xiang.

 

Qu Yuan sekali lagi diusir keluar dari negerinya. Sepanjang tempoh pengusirannya, ia telah menulis banyak puisi untuk menyatakan perhatian dan kekhuatirannya terhadap negeri dan rakyatnya.

 

Pada tahun 278 sebelum Masihi, tentera Qin berjaya menduduki Ying, ibu kota Negeri Chu. Melihat negerinya di ambang kehancuran, Qu Yuan agak sesal kerana tidak mampu menyelamatkan Negeri Chu. Akhirnya, pada tarikh 5 haribulan 5 imlek China, dengan rasa kecewa dan putus asas ia bunuh diri dengan memeluk batu besar lalu terjun ke Sungai Miluo. Ini tercatat dalam buku sejarah Shi Ji.

 

Lalu menurut legenda, rakyat Chu amat sedih kemudian mencari-cari jenazah Qu Yuan dengan mendayung sampan. Sehari demi sehari, jenazahnya masih belum ditemui. Mereka memukul gendang dan melemparkan ketupat ke dalam sungai agar ikan dan udang tidak mengganggu jenazah Qu Yuan. Kemudian untuk menghindari makanan tersebut dimakan oleh naga dalam sungai, maka mereka membungkusnya dengan daun-daun buluh.

 

Demikianlah asal usul diadakannya perlumbaan perahu naga pada Hari Duan Wu Jie. 

王瑾