Ribuan penduduk Thailand berhimpun di kampus Universiti Tammasat Bangkok pagi semalam untuk menyatakan rasa tidak puas hati atas tindakan kerajaan melewatkan pilihan raya umum.
Perhimpunan tersebut diatur oleh penyokong pilihan raya umum, dan pada asalnya merancang untuk berarak dari universiti berkenaan ke Pejabat Perdana Menteri.
Lapor media tempatan, kira-kira 100 penunjuk perasaan bermalam di kampus itu sejak malam 21 Mei, dan bertambah hingga hampir 1,000 orang keesokan paginya.
Mereka akhirnya dihalang keluar dari kampus apabila polis segera bertindak menyekat laluan dari Universiti Tammasat ke Pejabat Perdana Menteri.
Dalam satu pengumuman pada 21 Mei, polis Thailand memaklumkan bahawa kebenaran berhimpun yang diberikan kepada kumpulan itu hanya sah di dalam kawasan kampus Universiti Tammasat. Sesiapa yang berarak di jalan raya luar kampus akan dikenakan tindakan undang-undang.
Semalam adalah hari ulang tahun keempat sejak tentera Thailand menggulingkan kerajaan Yingluck Shinawatra.
Perhimpunan yang diadakan adalah bagi menuntut pilihan raya umum disegerakan.