Tun M Akan Bincang dengan Abe Berkaitan Pelaburan dari Jepun

2018-06-03 14:20:22  CRI
Share with:

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Jepun, Shinzo Abe berhubung pelaburan dari negara itu di Malaysia minggu depan.

Beliau menyatakan demikian selepas mengadakan mesyuarat tertutup dengan anggota Pakatan Harapan Langkawi semalam.

Dr Mahathir berkata, perbincangan dengan Abe itu akan berlangsung ketika beliau menghadiri Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia ke-24 di Jepun, pada 11 dan 12 Jun ini.

Ia adalah lawatan luar negara pertama Dr Mahathir selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh berikutan kemenangan mengejutkan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bulan lalu.

Tun Dr. Mahathir menyatakan, sebelum ini beliau melawat Jepun setiap tahun untuk menyampaikan ucapan pada persidangan antarabangsa anjuran Nikkei-Shimbun itu. Oleh kerana beliau dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu, kali ini beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Jepun.

Bagaimanapun, mereka tidak akan membincangkan perkara yang terlalu penting kerana tumpuan utama adalah mengukuhkan hubungan dua hala. Beliau juga akan bercakap sedikit mengenai Dasar Pandang Ke Timur.

(Sumber dari Berita Harian Online)

张弘