Seri Perdana Malaysia Dibanjiri Pengunjung

2018-06-15 14:47:18  CRI
Share with:

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini meraikan puluhan ribu pengunjung yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2018.

Majlis yang diadakan di Seri Perdana di Putrajaya bermula pada jam 10 pagi dan akan berakhir jam 4.30 petang hari ini turut dihadiri pelancong asing, yang tiba seawal jam 8 pagi lagi.

Dr Mahathir yang berpakaian baju Melayu berwarna ungu kelihatan begitu ceria menyambut kedatangan tetamu dan bersalaman dengan pengunjung di majlis itu.

Setakat ini, lebih 10,000 pengunjung yang hadir juga kelihatan begitu teruja berjumpa dan tidak melepaskan peluang bersalaman dengan pemimpin nombor satu negara itu.

Pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah tempatan seperti nasi briyani, char kuetiau, apam balik, sate, soto ayam, ketupat, lemang dan rendang serta pelbagai makanan lain.

Semalam, Dr Mahathir dalam perutusan Aidilfitri 2018, mengajak rakyat Malaysia untuk sentiasa bersyukur serta mengambil iktibar dengan apa yang berlaku kepada saudara Islam di negara luar apabila demokrasi yang diharap tidak mencapai tujuannya.

胡星