Mahathir akan Melakukan Lawatan Rasmi ke Indonesia

2018-06-28 10:26:26  CRI
Share with:

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan lawatan rasmi dua hari ke Indonesia mulai hari ini untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata Dr Mahathir akan diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Menurutnya, Dr Mahathir akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo dan menghadiri jamuan tengah hari dihoskan presiden itu.

"Lawatan itu menyediakan platform bagi kedua-dua pemimpin untuk memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama.

"Ia juga akan membolehkan Malaysia memaklumkan dasar-dasar terbaru kerajaan dan pendiriannya, terutama membabitkan isu-isu kepentingan bersama. Selain itu, kedua-dua pemimpin juga akan berpeluang untuk bertukar-tukar pandangan berhubung isu serantau dan global yang mempunyai kepentingan kepada kedua-dua negara," katanya.

Wisma Putra berkata Dr Mahathir juga dijadual mengadakan perjumpaan dengan rakyat Malaysia di Jakarta.

Lawatan ke Indonesia ialah lawatan pertama Dr Mahathir ke negara Asia Tenggara selepas dilantik sebagai perdana menteri pada 10 Mei.

Indonesia ialah antara sahabat akrab Malaysia dan jiran yang penting.

Pada 2017, jumlah dagangan dua hala adalah sebanyak RM72.63 bilion (US$16.89 juta), meningkat sebanyak 22 peratus berbanding pada 2016, menjadikan Malaysia rakan dagangan ketujuh terbesar di peringkat global dan rakan dagangan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand.

-- BERNAMA 

王瑾