JSJK: RM1.1 Bilion Dirampas

2018-06-28 11:16:20  CRI
Share with:

Rampasan terbesar. Itu yang diungkapkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Malaysia, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika menjawab soalan pemberita mengenai rampasan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB) bermula 16 Mei hingga 11 Jun lalu.

Rampasan dengan nilai ke­seluruhan mencecah RM900 juta hingga RM1.1 bilion itu melibatkan barangan kemas bernilai RM880 juta, ratusan beg tangan mewah bernilai RM51.3 juta dan pelbagai mata wang asing dari 26 negara berjumlah RM116.7 juta.

Kesemua rampasan dibuat dalam serbuan di enam premis iaitu Pejabat Perdana Menteri di Sri Perdana dan kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya, tiga buah kondominium mewah di Pavilion Residences, Bukit Bintang serta kediaman Najib di Jalan Langgak Duta di sini.

Amar Singh berkata, pihaknya mengambil masa 16 hari untuk menentukan nilai sebanyak 25 daripada 72 beg yang dirampas mengandungi 12,000 barangan kemas yang terdiri daripada 1,400 utas rantai, cincin (2,200), gelang (2,100), subang (2,800 pasang), kerongsang (1,600) dan tiara (14).

Menurutnya, kos pembuatan barangan kemas tersebut adalah RM440 juta namun harga pasarannya boleh mencecah RM880 juta iaitu di antara 50 peratus sehingga 100 peratus daripada nilai asal.

“Kita mengambil masa tiga hari untuk mengira 35 bagasi berisi wang tunai dari 26 negara bernilai RM116.7 juta. Bagi melicinkan proses, kita mendapatkan bantuan 22 pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) serta menggunakan enam mesin kira wang.

“Kita juga merampas sebanyak 567 beg tangan daripada 37 jenama antaranya Hermes, Chanel, Prada dan Bijan yang merupakan beg tangan mewah ditempah khas serta yang paling mahal. Setakat ini hanya beg tangan Hermes sahaja yang telah selesai dinilai iaitu bernilai RM51.3 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Amar Singh memaklumkan, nilai rampasan sebanyak 423 utas jam tangan melibatkan lebih 100 jenama seperti Rolex, Richard Mille dan Chopard pula bernilai RM78 juta dan mengambil masa tiga hari untuk proses penilaian.

“Kita dapati jenama jam ta­ngan yang paling banyak dirampas adalah Rolex termasuk seutas jam tangan Rolex bernilai RM3.5 juta. Turut dirampas, 234 unit cermin mata pelbagai jenama se­perti Versace, Gucci dan Dior yang dianggarkan bernilai RM374,000.

“Selain itu, kita juga merampas beberapa dokumen berkaitan dalam pemeriksaan yang dijalankan di pejabat bekas Perdana Menteri di Putrajaya,” ujarnya.

Tambah Amar Singh, proses pengiraan barang yang dirampas dijalankan lebih 150 pegawai dan anggota termasuk bantuan pakar dan pegawai BNM dalam tempoh 36 hari sejak 21 Mei hingga 25 Jun lalu.

Pada 17 Mei lalu, polis merampas 72 beg berisi barangan kemas, mata wang serta 284 kotak beg tangan berjenama dari kondominium mewah di Pavilion Residences yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Najib bagi siasatan kes 1MDB.

sumber: Utusan

王瑾