Perbelanjaan purata pelancong China ke Indonesia mencecah USD1,000 (RM4,140) seorang, dengan purata kunjungan selama 5 hari.
Pengarah promosi China dari Kementerian Pelancongan Indonesia, Vincent Jemadu berkata, pihaknya menyasarkan 2.6 juta pelancong China pada tahun ini.
Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, sebanyak 1.5 juta pelancong China telah melawat Indonesia. Vincent yakin sasaran tersebut mampu dicapai.
Pada tahun lepas, angka tersebut mencatat 2.06 juta. China telah menggantikan Australia sebagai sumber pelancong asing terbesar bagi Indonesia selama dua tahun berturut-turut.
Kata Vincent, 40% pelancong China memasuki Indonesia melalui pulau Bali, sementara 30% dari Jakarta dan 20% lagi dari kepulauan Riau. Jumlah yang memasuki Indonesia dari Manado meningkat ketara pada tahun ini. Kira-kira 10 ribu pelancong China melawat Manado setiap bulan. Kini, penerbangan terus carter telah dibuka antara Manado dan beberapa bandar di China.
Beliau menambah, kerajaan Indonesia mahu menarik sekurang-kurangnya 5 juta pelancong China pada tahun 2020. Cabaran terbesar buat masa ini ialah kekurangan pemandu pelancong yang fasih bahasa Mandarin.