Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Malaysia bermula 8 pagi tadi di kesemua 32 pusat pengundian bagi membolehkan 68,317 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
Pusat pengundian yang merangkumi sekolah dan dewan orang ramai itu akan ditutup pada 5.30 petang ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus pemilih keluar mengundi pada PRK ini dan keputusan dijangka diumumkan pada 10 malam.
Proses penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sebaik proses pengundian tamat pada 5.30 petang.
Pertandingan tujuh penjuru dalam PRK ini menyaksikan pertembungan calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS) dan lima calon Bebas iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial Stevie Chan Kee Leong, pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan.
PRK itu diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, meletak jawatan pada 12 September lepas bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dalam usaha kembali ke Dewan Rakyat.
(Sumber dari BERNAMA)