Tun Dr. Mahathir Seru Rakyat Malaysia Bersukan

2018-10-13 13:46:43  CRI
Share with:
Pada usia 93 tahun dan jelas masih aktif dan kuat, Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sebenarnya bukanlah seorang yang aktif bersukan.

"Jangan ikut Dr Mahathir, dia suruh orang bersukan, (tapi) dia tak bersukan," katanya semasa berucap pada sambutan Hari Sukan Negara di Bandar Sukan Kuala Lumpur, di Bukit Jalil hari ini.

Hadir sama isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyertai ribuan rakyat pelbagai lapisan yang datang sejak awal pagi.

Justeru, Dr Mahathir menggesa rakyat sentiasa menggunakan otot dan otak supaya kekal sihat dan cerdas.

Katanya pada ketika ini, rakyat lebih banyak menghabiskan masa bekerja di dalam pejabat berhawa dingin tanpa banyak menggerakkan otot.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Dr Mahathir mengucapkan tahniah kepada kontinjen Malaysia di Sukan Para Asia, Indonesia yang berjaya mencapai sasaran 15 pingat emas.

"Skuad Para Asia kita berjaya capai sasaran, mereka betul-betul bersemangat bermain walaupun dengan berkerusi roda," katanya.

(Sumber dari BERNAMA)
张弘