Prospek Kerjasama China-Brunei Darussalam Cerah

2018-11-17 11:30:41  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_presidenxijinping

Presiden China, Xi Jinping akan mengadakan lawatan rasmi ke Brunei Darussalam pada 18 hingga 20 November. Lawatan ini merupakan yang julung-julung kali diadakan semenjak beliau menjadi Presiden China pada 2013, yang dianggap amat signifikan bagi menganjakkan hubungan dua hala.

Duta Besar China ke Brunei Darussalam, Yang Jian dalam temu bual oleh China Media Group (CMG) berkata kerjasama antara China dengan Brunei Darussalam dalam rangka inisiatif Jalur dan Laluan (B&R) mempunyai prospek luas, sekali gus meningkatkan potensi hubungan ekonomi, perdagangan dan sosiobudaya.

Beliau menyatakan bahawa Brunei Darussalam adalah negara penting di sepanjang Laluan Sutera Maritim Abad ke-21. Dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini, kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi dan perdagangan telah membuahkan hasil yang amat memberangsangkan.

Antara beberapa projek mega membabitkan penyertaan pihak China, termasuklah projek loji penapisan minyak di Pulau Muara Besar yang dibangunkan bersama Hengyi Petrochemical Co., LTD China dengan pelaburan melebihi USD3.445 bilion (BND4.74 bilion), dan Huludao City Steel Pipe Industrial Co Ltd iaitu satu-satunya syarikat pengeluar paip keluli di Brunei Darussalam, yang ditubuhkan dengan penanaman modal China.

Di samping itu, beberapa projek kerjasama lain yang kini sedang dalam pelaksanaan juga mendapat sokongan padu kerajaan kedua-dua negara.

Menurut Yang Jian, kerjasama Beibu Gulf Port Group, Guangxi dengan Darussalam Assets Sdn. Bhd. menubuhkan Syarikat Pelabuhan Muara Sdn. Bhd. (MPC) berjaya membantu meningkatkan kecekapan pengurusan pelabuhan tersebut. Pihak Brunei Darussalam turut menyasarkan pelabuhan itu menjadi hab logistik serantau.

Pada masa yang sama, syarikat pengeluar rempah dari China juga merancang menjalinkan kerjasama mengeluarkan produk rempah halal bersama syarikat dari Brunei Darussalam.

Yang Jian berkata, jenama halal dari Negara Brunei Darussalam sentiasa mempunyai reputasi yang baik dan amat dialu-alukan dalam pasaran masyarakat Islam. Walaupun jenama produk halal Brunei Darussalam agak sedikit pada masa ini, namun produknya diyakini mempunyai potensi pasaran yang besar selepas program kerjasama tersebut bakal dilaksanakan pada masa depan.

Selain kerjasama ekonomi yang semakin erat, interaksi sosiobudaya antara China dengan Brunei Darussalam juga semakin ditingkatkan sejak kebelakangan ini.

Dalam tempoh dua tahun lalu, Kedutaan Besar China telah menguruskan lawatan delegasi pegawai kerajaan, pengamal media dan pelajar Brunei Darussalam ke China.

Selain itu, pertukaran lawatan melibatkan pelukis kedua-dua negara juga kerap kali diadakan sejak separuh tahun kedua 2015. Lukisan landskap budaya dan alam semula jadi negara masing-masing yang diabadikan para pelukis dengan berus lukis mendapat sambutan hangat masyarakat setempat.

Sempena ulang tahun ke-25 hubungan diplomatik pada 2016, siri aktiviti sambutan turut diadakan.

Yang Jian menyatakan bahawa dengan berlangsungnya pelbagai program pertukaran, persefahaman antara rakyat kedua-dua negara kini semakin meningkat.

Tambahan pula, kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan telah dinaiktarafkan melalui program pertukaran antara kolej dan golongan belia sejak beberapa tahun yang lalu.

Pada 2005 hingga 2015, kira-kira 40 orang pelajar dari Brunei Darussalam yang mendapat biasiswa kerajaan China untuk melanjutkan pelajaran di China. Selain itu, jumlah pelajar Brunei Darussalam yang menuntut di China tanpa tajaan biasiswa juga semakin bertambah, iaitu 15 orang pada 2018, berbanding lapan orang pada 2016 dan 14 orang pada 2017.

Beliau turut menyatakan Brunei Darussalam adalah antara negara paling awal yang menyuarakan sokongan terhadap inisiatif B&R saranan Presiden Xi, juga anggota pengasas Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB).

Dengan mengambil peluang daripada ulang tahun ke-5 hubungan kerjasama strategik China-Brunei Darussalam ini, kerjasama ekonomi dan perdagangan serta pertukaran sosiobudaya di bawah rangka B&R diyakini dapat melakar lebih banyak kecemerlangan yang membanggakan.

王瑾