Komitmen China, Brunei Rapatkan Lagi Ikatan Dua Negara

2018-11-19 18:57:37  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_timg (15)

Pada awal tahun ini, Citibank dan bank HSBC telah menghentikan urus niaga kewangan mereka di Brunei Darussalam. Menurut laporan media, penurunan harga tenaga global pada tahun-tahun kebelakangan ini menyebabkan urus niaga minyak dan gas  asli bank-bank tersebut di Brunei turut susut.

Brunei merupakan pengeluar minyak ketiga terbesar di Asia Tenggara dan pembekal gas asli keempat terbesar di dunia. Industri minyak dan gas asli menduduki kira-kira 60% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu. Kejatuhan harga minyak antarabangsa membawa impak besar kepada ekonomi Brunei. Dalam konteks ini, Brunei telah mengemukakan Wawasan 2035  yang menyasarkan pempelbagaian ekonomi.

Ketika pelabur asing lain menarik diri dari Brunei, China tampil memberi sokongan teguh kepada negara itu, yang menyediakan daya penggerak penting kepada pencapaian wawasan tersebut. 

Padahal, seawal 2016, Bank China telah pun membuka cawangan di Brunei bagi menawarkan perkhidmatan kepada pelabur dari China.

China dan Brunei menjalinkan hubungan diplomatik pada 1991. Pada 2013, ikatan bilateral ditingkatkan kepada hubungan kerjasama strategik. Setelah Presiden China, Xi Jinping mengemukakan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) pada tahun itu, Brunei telah menyuarakan sokongan penuh terhadap inisiatif tersebut. Kedua-dua negara memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meningkatkan penyelarasan BRI dengan Wawasan 2035, sekali gus menyuntik penjana baharu kepada perkembangan hubungan bilateral.

Dalam rundingan antara Presiden Xi dengan Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan hari ini, kedua-dua negara bersetuju menaiktarafkan hubungan kepada perkongsian kerjasama strategik. Keputusan ini sesuai dengan perkembangan semasa dan pasti akan melonjakkan ikatan dua hala ke tahap lebih tinggi.

Dalam isu Laut China Selatan pula, kedua-dua pihak menolak campur tangan negara-negara yang tidak terlibat dalam pertikaian berkenaan. Percubaan campur tangan termasuk dengan alasan menjaga kebebasan pelayaran di perairan tersebut hanya akan merumitkan dan menegangkan lagi situasi.

张弘